Pelantikan Tommy Thomas kesilapan terbesar PH

Pelantikan Tan Sri Tommy Thomas sebagai Peguam Negara adalah satu kesilapan terbesar Pakatan Harapan (PH) dan kini diakui sendiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, jarang sekali selepas tumbangnya kerajaan PH pada 24 Februari tahun lalu, kedua-dua pimpinan PH itu sekata dalam mengulas mengenai individu atau peristiwa yang berkaitan dengan kerajaan PH.

Katanya, Dr. Mahathir baru-baru ini menyatakan penyesalan beliau kerana melantik Tommy Thomas manakala Anwar pula mengkritik tindakan tidak profesional beliau dalam mengulas isu peristiwa 13 Mei.



“Walaupun Tommy melepaskan sekian banyak pemimpin dan penyokong PH yang menghadapi pelbagai pertuduhan di mahkamah, tindak-tanduk beliau sekarang yang menyelar keras PH sebagai sebuah kerajaan yang lemah dan gagal pastilah menghantui PH.

“Apatah lagi Tommy turut mengkritik PH kerana tidak mempunyai perancangan atau program untuk memerintah selain menyatakan PH tidak mempunyai ‘political will’ untuk membuat pembaharuan yang melanggari manifestonya sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, namun dalam hal ini, PH tidak boleh menyalahkan Dr. Mahathir atau mana-mana pihak lain, sebaliknya perlu menyalahkan diri sendiri berhubung pelantikan Tommy Thomas itu.

Beliau memberitahu, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa pelantikan Tommy sebagai Peguam Negara sebenarnya adalah antara perlanggaran terbesar dan terawal terhadap manifesto PH di mana Janji 15 dalam manifesto itu terang-terang menyebut ‘Peguam Negara akan dilantik dalam kalangan ahli Parlimen yang berkelayakan’.



Namun, katanya, Tommy tetap juga dilantik sebagai Peguam Negara tanpa bangkangan oleh PH walaupun beliau bukan ahli Parlimen.

Justeru, katanya, PH atau mana-mana pihak sekalipun, perlu mengambil iktibar daripada kerosakan yang berlaku akibat lantikan Tommy sebagai Peguam Negara ini dengan memastikan bahawa mana-mana individu yang hendak dilantik sebagai Peguam Negara hendaklah seorang warganegara Malaysia yang beragama Islam.

Kata beliau, perkara itu selaras dengan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan’.

“Selaku penasihat Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong yang menghendaki Baginda ‘memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’, maka sudah sewajarnyalah jawatan Peguam Negara diisi oleh seorang yang beragama Islam.



“Mengharapkan seorang yang bukan beragama Islam membantu Yang di-Pertuan Agong ‘memeliharakan pada setiap masa Agama Islam’ adalah satu kekarutan yang nyata, apatah lagi jika individu tersebut awal-awal lagi tidak menerima keakuran mahkamah kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Ini termasuk mahukan rayuan dalam isu pertikaian antara Islam dan Kristian diputuskan oleh hakim-hakim yang beragama Hindu, Buddha, ateis atau agnostic,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Adun PAS Sabah lantik pegawai khas beragama Kristian



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker