Fida, Mamat Sepah bertanya khabar
Pelakon dan usahawan, Rafidah Ibrahim atau lebih dikenali Fida, 35, berkongsi bingkisan perbualannya di WhatsApp bersama kenalan lama yang juga pelawak, Mamat Sepah.
Menurut Fida, perkongsian dibuatnya di Instagram itu menunjukkan bahawa dia dan Mamat profesional serta menghormati di antara satu sama lain sebagai kenalan lama yang pernah rapat dahulu.
“Saya dan Mamat, kami tidak pernah bermusuh pun selama ini. Cuma, kami selesa membawa haluan masing-masing kerana menghormati perasaan pasangan dan pandangan masyarakat.
“Cuma, baru-baru ini mungkin kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kami ada berhubung di WhatsApp bagi bertanya khabar. Selain, Mamat juga mendoakan hari bahagia saya nanti.
“Pada majlis pernikahan Mamat dan isteri, Nordiana tahun lalu, saya tak dapat hadir kerana ada urusan perniagaan. Tapi, sebagai rakan artis dan saling kenal, saya sentiasa mendoakan kebahagiaan mereka kekal hingga ke jannah,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Fida lagi, tiada salah juga untuk mereka bertanya khabar sesama rakan artis. Malah, ujarnya semoga silaturahim kita sentiasa terjaga dan dipelihara oleh Allah SWT.
Terdahulu, pada awal Januari lalu, Fida turut berkongsi khabar gembira yang dia bakal mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya tidak lama lagi.
Menurut Fida, dia dan bakal pasangannya yang juga seorang ahli perniagaan merancang mengadakan majlis pernikahan mereka sebelum Ramadan tahun ini.
Ujarnya lagi, mereka adalah kenalan lama dan sudah saling mengenali lebih 10 tahun lalu. Malah, Fida menyifatkan calon suaminya seorang lelaki yang baik, sangat memahami dan banyak membantunya.
Ketika aktif berlakon dahulu, Fida pernah membintangi drama antaranya Cinta Tikar Sejadah, Epilog Syurga Cinta, Kasih Alia, Runtun Qalbu dan Setulus Janji, termasuk filem seperti Kongsi, Man Sewel Datang KL dan Adik Manja Returns.
Selain itu, Fida yang juga pengasas perniagaan serum kecantikan, R Secrets Sdn Bhd pada 2014 pernah popular dengan lagu Apo Kono Eh Jang 2012.
Walaupun Nama Pernah ‘Dihancurkan’, Mamat Sepah Akui Sudah Ampunkan Jep Dan Shuib