Runding dengan India untuk dapat vaksin lebih cepat, kata Najib

Bekas perdana menteri, Najib Razak mencadangkan Putrajaya berunding dengan India untuk mendapatkan bekalan vaksin daripada pengeluar vaksin terbesar dunia itu.

Beliau dalam catatan Facebooknya menyertakan satu tangkap layar laporan portal berita India, The Wire, yang menyatakan Institut Serum India terpaksa menghentikan pengeluaran buat sementara susulan lambakan 55 juta dos Covishield.

“Malaysia cuma perlu sekitar 55 juta dos untuk memastikan 80% daripada penduduk kita diberi vaksin dan mencapai imuniti kelompok, di mana penularan tempatan dapat dihentikan.

“Maksudnya, kilang India itu mampu mengeluarkan vaksin bagi keseluruhan keperluan Malaysia dalam masa dua minggu saja. Kita patut mula berunding dengan India,” katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan memfokuskan kapasiti, kelajuan latihan dan kemampuan kakitangan serta infrastruktur untuk vaksinasi, selain pendidikan serta kempen kesedaran besar-besaran agar lebih ramai rakyat akan menerima vaksin dalam jangka singkat.

“Jika kita rancang dengan baik, pemberian vaksin mampu dijalankan 24 jam sehari tanpa henti. Kita tidak perlu dan tidak patut tunggu sehingga Februari 2022 seperti rancangan kerajaan PN (Perikatan Nasional) sekarang untuk 70% penduduk diberi vaksin.

“Siapa yang sanggup bertahan pandemik Covid-19 ini selama satu tahun lagi?” soalnya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jika vaksin itu diluluskan Kementerian Kesihatan, beliau antara individu yang rela menerimanya secepat mungkin.

“Sebab saya percaya pada sains,” katanya.

Malaysia menandatangani perjanjian untuk membeli vaksin Pfizer-BioNtech, tambahan kepada vaksin AstraZeneca, Sinovac dan CanSinoBIO dari China, serta Pusat Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya di Rusia.

Pengeluar vaksin terbesar di dunia, Serum Institute of India menghasilkan lebih 1.6 bilion dos vaksin untuk diagihkan di lebih 170 negara tahun lalu, dan kini ia mengeluarkan berjuta dos vaksin Covishield, yang dibangunkan AstraZeneca dan Universiti Oxford, untuk India serta negara lain.-FMT

Malaysia tambah 12.2 juta dos vaksin Covid-19 Pfizer

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker