46 bas ekspres, 646 penumpang diperiksa

Sungai Petani: Polis sentiasa memantau pergerakan pengangkutan awam terutamanya bas ekspres untuk memastikan semua penumpang mempunyai surat kebenaran polis sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, setakat ini pihaknya melakukan pemeriksaan terhadap 46 bas ekspres dan 646 penumpang sejak 19 Januari lalu dan kesemuanya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, selain dalam bas, pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap pengusaha bas iaitu kaunter tiket untuk memastikan arahan dipatuhi ketika mengekang penularan Covid-19 di daerah ini.

“Saya dimaklumkan penjualan tiket bas tidak akan dilakukan sekiranya penumpang gagal untuk menunjukkan surat kebenaran polis.

“Selain itu, setiap bas pula hanya membawa 30 penumpang berbanding 40 penumpang sebelum ini dan setiap bas yang sampai di terminal akan disanitasi terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui ketika pemeriksaan di Terminal Bas Ukir Square Sungai Petani, malam tadi.

Hadir sama,Timbalannya, Superintendan Anuar Abd Rahman @Abd Rahim dan Ketua Cawangan JPJ Sungai Petani, Abdul Jalil Mat Lazim.

Beliau berkata, setakat ini tiada kes membabitkan kesalahan penumpang bas ekspres di daerah ini.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, sebanyak 203 kompaun dikeluarkan kepada orang awam dan enam tangkapan dilakukan terhadap warga asing di daerah ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 86 orang dikompaun RM1,000 kerana kesalahan tidak memakai pelitup muka walaupun ianya perkara asas yang perlu dilaksanakan dan 60 orang pula dikompaun kerana kesalahan merentas daerah dan negeri tanpa kebenaran,” katanya.

Bagaimanapun, Adzli berkata, tahap pematuhan SOP oleh orang ramai masih rendah dan paling ketara tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Pengusaha bas sekolah bimbang terpaksa tamat operasi akibat Covid-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker