Pengusaha bas sekolah bimbang terpaksa tamat operasi akibat Covid-19

Badan induk persatuan bas sekolah meminta bantuan kerajaan kerana bimbang pengusaha bas berisiko menamatkan perniagaan kerana penutupan sekolah akibat penularan Covid-19.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata pengusaha bas menjangkakan sesi persekolahan mungkin dibatalkan untuk baki tahun ini, kecuali bagi pelajar SPM dan STPM.

Kerajaan sudah membatalkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun ini.

“Selepas 3 bulan, jika tiada persekolahan, kebanyakan ibu bapa tidak akan mahu bayar untuk perkhidmatan kami. Tetapi, kami masih perlu membayar pinjaman bagi bas dan pemandu kami, walaupun tanpa pendapatan.”

Katanya, pengusaha bas sekolah di bawah persekutuan itu membawa 1.5 juta pelajar daripada peringkat tadika sehingga sekolah menengah.

Ahlinya sudah berdepan persaingan sengit daripada pengusaha haram yang menggunakan kenderaan persendirian.

Kira-kira 90% pemandu bas membawa bas terpakai untuk perniagaan mereka dan bank enggan memberi pinjaman bagi kenderaan terpakai yang menyebabkan kebanyakan pengusaha terpaksa meminjam daripada syarikat pemberi pinjaman yang mengenakan kadar faedah 7% hingga 10%.

“Lebih teruk apabila moratorium ke atas pinjaman bank tidak meliputi syarikat pemberi pinjaman, jadi kami masih perlu membayar balik pinjaman kami. Tiada penangguhan untuk kami.”

Pemandu bas hanya boleh mengutip tambang selama 10.5 bulan setahun disebabkan pelbagai cuti sekolah dan kebanyakan pemandu kini bekerja sebagai penghantar makanan sambilan.

Amali berkata, jika sekolah tidak dibuka semula dalam masa 3 bulan, pemandu bas mungkin berhenti kerja dan mencari pekerjaan tetap di tempat lain.

“Jika tiada persekolahan, kami tiada pendapatan, kami tidak boleh membayar gaji dan pinjaman kami. Syarikat kami mungkin perlu ditutup. Kami hanya berkongsi realiti keadaan.”

Penyedia pengangkutan lain seperti teksi dan perkhidmatan e-hailing dibenarkan terus beroperasi, walaupun dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan, tetapi bukan bagi pemandu bas sekolah.

Amali berharap kerajaan akan memberikan moratorium bagi pinjaman mereka ketika sekolah masih ditutup.

Beliau juga berharap Putrajaya akan menyediakan elaun bagi pengusaha bas sekolah sepanjang tempoh ini.

“Jika sekolah tidak dibuka sehingga akhir tahun ini, bagaimana kami mahu menyara keluarga kami?” soalnya.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker