PAS mengata dulang paku serpih

PAS mengata dulang paku serpih

Oleh Mohamed Khaled Nordin

Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang dipetik berkata, Perikatan Nasional (PN) ialah satu pakatan sederhana yang ditubuhkan sebagai “perikatan menentang parti-parti ekstrem”.

Memandangkan BN adalah parti yang tidak berada dalam pakatan tersebut, secara tidak langsung Abdul Hadi turut bermaksud bahawa BN adalah parti yang ekstrem.

Sudah tentu pandangan sebegitu tidak benar. BN bukan parti yang ekstrem atau menyokong ekstremisme.

Jika tidak, mana mungkin selama 61 tahun rakyat Malaysia memilih BN dan bukannya PAS. Saya rasa semua orang tahu jawapannya.

PAS tidak pernah menang besar dalam mana-mana pilihan raya umum (PRU). Hal itu kerana, kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya, PAS adalah parti dengan ideologi Islam yang ekstrem.

Mereka tidak yakin PAS boleh menawarkan solusi untuk Malaysia dengan komposisi kemajmukannya yang kompleks.

Kerana itu, di sebalik berpuluh tahun kewujudannya – dengan Islam yang dicanangkan sebagai landasan PAS sekalipun – majoriti orang Melayu tidak pernah menerima PAS sebagai parti yang boleh mewakili mereka.

Tentang pihak meludah demokrasi

Sekarang PAS berkicau seolah-olah ia lebih sederhana daripada yang sederhana. Tetapi rekod dan prestasi PAS jelas menunjukkan bahawa ia bukan parti sederhana.

PAS mungkin kelihatan sederhana hari ini bukan kerana ideologi dan pendekatan politiknya, tetapi kerana PAS menyedari bahawa untuk terus diajak menjadi kerajaan, ia terpaksa menjadi sederhana.

Sepanjang kewujudannya, BN kekal dengan pendirian mendukung kepelbagaian Malaysia. Kerana itu BN tidak pernah menyertai pelbagai perikatan lain untuk kononnya tampak sederhana.

Lihatlah rekod PAS. Perikatan mana yang ia tidak pernah sertai untuk melunakkan persepsi radikalnya, termasuklah merangkul erat DAP sebagai sekutu.

Jadi apabila parti di luar pakatan yang disertai PAS dilabel sebagai ekstrem, maka saya teringat bidalan orang tua-tua: Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Kepada PAS dan PN, BN memang ada kelemahannya. Namun kelemahan BN bukannya kerana ia parti yang ekstrem.

Sekalipun BN itu mungkin ada sisinya yang ‘ekstrem’, ekstrem BN itu bersebab dan berasas. BN ekstrem mempertahankan kemajmukan Malaysia. BN ekstrem menentang mereka yang khianat pada mandat rakyat dan meludah demokrasi dengan melompat sesedap rasa.

BN ekstrem mengembalikan demokrasi dan memulihkan Malaysia dengan sebaiknya.

Kepada ‘perikatan menentang parti yang ekstrem’ itu, alhamdulillah, akhirnya anda menyedari bahawa Malaysia ini majmuk dan sederhana.

Tetapi kalau di hulu airnya keruh, tidak dapat tidak, di hilirnya keruh juga. Mk

PAS mengata dulang paku serpih


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Myvi baharu lebih sporty

Kilang roti penuh najis tikus dan lipas

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker