Rakyat Malaysia kecewa, keliru janji temu vaksin MySejahtera

Sebaran :

Kejadian aplikasi MySejahtera yang menolak janji temu vaksinasi tanpa sebab, sesetengahnnya di saat-saat akhir menimbulkan kekeliruan dan kekecewaan di kalangan rakyat Malaysia, terutama yang mempunyai ibu bapa yang telah tua.

Seorang jururawat di sebuah hospital swasta di Melaka, Sharon tidak sabar untuk membawa bapanya yang berusia 80 tahun untuk janji temu bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

Dia bahkan menerima kiriman pesanan teks yang mengingatkannya mengenai janji temu 24 Mei (Isnin) di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Tun Ali pada hari Jumaat sebelum itu.



Tetapi tidak lama kemudian dia menyedari MySejahtera memaparkan hari dan tempat yang berbeza bagi temu janji berkenaan.

Bingung dengan keadaan itu, dia cuba mendapatkan penjelasan mengenai perubahan mendadak itu dengan menghubungi talian hotline MySejahtera pada hujung minggu tetapi tidak berjaya.

“Saya fikir jika kami terlepas janji temu, kami mungkin perlu mengaturnya sekali lagi dan siapa tahu bila janji temu seterusnya.


AstraZeneca tidak lagi ditawar secara sukarela, akan kembali ke PICK

“Oleh itu, kami masih pergi ke Dewan Tun Ali pada 24 Mei tetapi apabila kami sampai di sana, bapa saya tidak dapat dan dia diminta untuk datang pada temu janji 25 Mei.

“Ini sangat tidak selesa kerana saya bekerja dan mengambil cuti (pada 24 Mei) untuk ini. Perubahan secara tiba-tiba seperti ini sangat menyusahkan,” katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Berdasarkan perbualan dengan senior lain, Sharon mengesyaki temu janji mereka juga telah ditukar tanpa pemberitahuan yang jelas.

Bapa Sharon akhirnya mendapat temu janji pada 25 Mei setelah suaminya mendapat cuti dan mereka kemudiannya pergi ke PPV Dewan Hang Tuah di Kota Melaka.

Suaminya juga perlu membawa telefon milik Sharon kerana pendaftaran vaksin untuk bapanya menggunakan telefon berkenaan.

Di Facebook, seorang wanita, Theresa Tan, menulis komen di laman Facebook Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, memberitahu bahawa temu janji bapanya ditangguhkan dari 27 Mei kepada 3 Jun.

“Saya selalu fikir kita harus mengambil perhatian terhadap barisan hadapan dan orang-orang yang bekerja keras untuk melandaikan lengkungan (Covid-19), tetapi hari ini, saya benar-benar marah.

“Ayah saya, seorang lelaki berusia lebih 80 tahun, telah memberanikan diri untuk mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin. Janji temunya pada 27 Mei.

“Kami dua tiga kali disahkan dengan klinik tersebut mengenai janji temu berkenaan. Semalam, ayah saya bahkan menerima SMS dari Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk mengingatkannya mengenai janji temu vaksin, ”kata Tan.

Namun, ketika Tan membawa ayahnya ke klinik untuk janji temu pada jam 1 tengah hari ini, mereka diberitahu bahawa ayahnya tidak boleh diberi vaksin kerana namanya tidak ada dalam senarai.

 “Janji temunya telah diubah dan dijadualkan semula ketika MySejahtera memperbaharui senarai nama pagi ini jam 9.30 pagi.

 

“Ayah saya tidak pernah keluar dan dia ikuti SOP dengan cermat. Untuk mempersiapkannya dan membawanya keluar (untuk temu janji), kami mengambil dan mendedahkannya kepada risiko, “katanya.

Tan juga menyatakan ada seorang wanita warga emas di pusat vaksinasi berkenaan berdepan pengalaman sama dengan mereka ketika berada di sana.

Bukan hanya Sharon atau Tan yang menghadapi situasi serupa.

 

Pengguna Twitter Hazmira Almaz berkata janji temu ibunya yang berusia 62 tahun untuk menerima vaksin AstraZeneca hari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) tiba-tiba diubah kepada 11 Julai di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Begitu juga, janji temu ayahnya juga diubah dari 6 Jun hingga 11 Jun.

“Ini tidak dapat diterima dan saya menuntut tarikh asal dikembalikan.

“Kami telah mendaftar sebulan sebelumnya dan apa alasan anda untuk mengubah tarikh mereka,” soalnya.

Dia turut menandakan akaun Twitter Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), MySejahtera serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin menerusi tweetnya.

Hazmira berkata ibunya juga telah menerima peringatan semalam daripada aplikasi MySejahtera mengenai janji temu hari ini.

 “(Ibu saya) sudah berkira-kira baju apa nak dipakai, nak pergi naik apa dan dia begitu bersemangat, tetapi tiba-tiba ia ditunda,” katanya.

 

Hazmira kemudian berkata  Dr Ghows Azzam, salah seorang penasihat kepada Khairy, telah menghubunginya mengenai masalah ini.

” Rupa-rupanya, ‘seseorang’ telah mendaftarkan semula ibu saya kepada tarikh baru, yang anehnya tiada sesiapa dari kami yang melakukannya,” katanya.

Namun, Hazmira berkata ibunya akhirnya mendapat vaksin hari ini setelah dia datang ke WTCKL dan membuktikan janji temu asalnya menerusi tangkap layar.

Warga emas dapat slot lain

Pengguna Twitter lain juga menceritakan kejadian di mana ibu bapa atau datuk dan nenek mereka telah menerima janji  temu di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, namun diubah kepada temu janji bagi slot vaksin AstraZeneca.

Pengguna Twitter Cheryl Lim mempersoalkan mengapa temu janji bapa rakannya pada 28 Mei di Pusat Perubatan MSU dijadualkan semula untuk slot vaksinasi AstraZeneca di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam pada 27 Julai, sedangkan mereka tidak pernah membuat permohonan.

Beberapa pengguna kemudian memberikan respons terhadap tweet berkenaan  dengan cerita serupa, dengan salah seorang mengatakan janji temu neneknya  di klinik terdekat pada 29 Mei tiba-tiba diubah kepada 22 Jun di tempat yang jauh dari rumah mereka.

Seorang pengguna Twitter lain mengatakan neneknya, yang telah ditetapkan oleh doktor untuk hanya menerima vaksin Pfizer kerana sejarah perubatannya, diberikan slot AstraZeneca walaupun tidak pernah mendaftar.

” Adakah nak abaikan ni atau teruskan? Tolong beri nasihat, ”tanya pengguna Twitter itu, menandakan JKJAV dalam tweet tersebut.

Sementara itu, seorang pegawai yang ditempatkan di PPV menganggarkan sekitar 200 orang ditolak untuk mendapatkan vaksin sepanjang dua hari, akibat tidak sedar bahawa janji temu mereka telah ditukar.

 

Bercakap dengan syarat tidak mahu disebutkan namanya untuk mengelakkan tindakan, Tom (bukan nama sebenar) berkata, mereka bertemu dengan ramai individu yang bekerja dan ibu bapa mereka yang kecewa dengan keadaan itu.

“Sebilangan besar mereka ada tangkap layar mengenai tempat dan waktu janji temu mereka, jadi kami tahu mereka tak salah.

“Jadi ketika mereka sampai di sini dan mereka tahu (slotnya) sudah berubah, mereka agak kecewa terutama (ketika) anak-anak mereka sudah mengambil cuti (untuk bawa mereka ke sini).

” Beberapa orang anak kata mereka menghabiskan banyak waktu untuk meyakinkan orang tua mereka dan ketika ini berlaku, itu boleh menghalangi motivasi mereka untuk mendapatkan vaksin,” katanya kepada Malaysiakini 

“Ada seorang dari Kuala Lumpur yang memohon kebenaran polis untuk datang terpaksa melakukannya semula kerana janji temu telah diubah ke tarikh yang berbeza,” tambahnya.

Justeru Tom berharap agar pemberitahuan jelas dapat diberikan bagi mengelakkan perkara ini berulang.

Rakyat Malaysia kecewa, keliru janji temu vaksin MySejahtera

 


Baca Artikel Menari

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Ebit Lew berlepas bersama misi kemanusiaan ke Gaza

 


Sebaran :

Leave a Reply