5 tahun dalam ‘neraka’, tolong selamatkan kami, kata penghuni flat di P Pinang

Jawatankuasa yang menguruskan flat dianggap paling kotor di Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa membelanjakan kira-kira RM1 juta supaya penghuninya boleh tinggal dalam persekitaran lebih bersih.

Anparasan Selvadurai, setiausaha badan pengurusan Flat Teluk Indah berkata, jumlah itu adalah paling minima diperlukan untuk memperbaiki keadaan di dua blok flat 21 tingkat di Perai itu.

“Kami tinggal di neraka” sejak lima tahun lalu, kata Anparasan kepada FMT.

Dia mencadangkan pemasangan:

  • Sistem kad akses hanya membenarkan kemasukan penghuni yang membayar yuran penyelenggaraan;
  • Kamera litar tertutup (CCTV) di 32 lokasi strategik;
  • Jaring di setiap tingkat untuk menghalang pembuangan sampah; dan
  • Dua pam air untuk menggantikan pam yang sering rosak.

Cadangan itu dikemukakan sendiri oleh Anparasan, yang secara sukarela memegang jawatannya kerana tiada penghuni lain sudi.

Dia juga mencadangkan semua enam lif, yang sering rosak, diperbaiki secara tetap. Semua lif itu tidak berfungsi semalam.

Penghuni berkata, beg sampah akan “mendarat seperti bom” pada tengah malam.

Penduduk “nakal” terus mencampak sampah ke kawasan konkrit di antara dua blok tersebut. Beg plastik sampah itu akan pecah dan bau busuk daripadanya mencemarkan udara.

Kata penghuni flat itu, sekali sekala sebungkus sampah akan “jatuh dari langit”, terutama pada tengah lewat. Terdapat juga botol kaca dan kadang-kadang almari kayu.

Penghuni memberi amaran kepada wartawan FMT supaya tidak berada lama di koridor kerana kebocoran daripada sampah yang jatuh sering terpercik kepada orang yang lalu-lalang.

“Baunya sangat busuk, terutama apabila panas,” kata pekerja kilang, Ashikin, yang berjalan turun dari tingkat 12 kerana lif tidak berfungsi.

Rajes, yang menjual sayur-sayuran di lobi lif berkata, beg sampah kadang-kadang “mendarat seperti bom” pada tengah malam, mengejutkan penghuni flat.

Pekerja pembersihan yang diupah oleh pihak pengurusan sering merasa seperti berada dalam sebuah episod “Fear Factor”, apabila mereka perlu bertukar menjadi “stuntman”, berebut-rebut mengutip sampah sebelum ada yang mendarat di atas kepala mereka. Mereka menceritakan satu insiden di mana seorang pekerja pembersihan terpaksa dibawa ke hospital selepas dihempap sebungkus kulit durian.

Terdapat juga seorang pekerja pembersihan yang lengannya membengkak sejam selepas mengutip sampah, disyaki akibat jangkitan bakteria.

Anparasan berkata, dia sendiri pernah membawa beberapa pekerja pembersihan ke klinik beberapa kali.

“Kami cuba hampir semuanya, tetapi tiada yang berhasil,” katanya.

“Malah kami meletakkan tong sampah besar untuk penghuni dan meminta semua orang meninggalkan sampah mereka di lobi lif, bukannya mencampak ke bawah. Namun, tiada siapa pun mendengar (permintaan kami).”

Semua enam lif di flat itu tidak berfungsi.

Anparasan menjalankan kelas tuisyen, tetapi tugasnya di bangunan itu termasuk mengaktifkan secara manual pam yang membekalkan air ke tingkat lebih tinggi.

Dia bercerita tentang menjadi tukang paip walaupun pada hari bapanya meninggal dunia, kira-kira dua minggu lalu. Seseorang mencuri alat yang menghentikan air daripada melimpah dari tangki pusat, lalu air mencurah-curah seperti air terjun ke lantai yang dipenuhi sampah di bawah.

Katanya, lif tidak diperiksa dan diperbaiki secara berkala kerana jawatankuasa tidak mampu membayar yuran penyelenggaraan dalam tempoh enam bulan berturut-turut.

Kekurangan dana berpunca daripada keengganan pemilik flat untuk membayar RM30 sebagai bayaran penyelenggaraan bulanan, katanya.

Hanya 30% daripada 1,008 unit berpenghuni dan separuh daripadanya disewakan kepada warga asing.

Anparasan berkata, banyak sesi pembersihan gotong-royong diadakan tetapi keadaan akan kembali kepada asal tidak lama selepas itu.

Katanya, jawatankuasa itu sekarang mempunyai RM271 dalam akaun dan menyimpannya untuk gaji pekerja pembersihan. Selalunya, kata Anparasan, dia akan membayar gaji pekerja tersebut menggunakan wangnya sendiri.

Motosikal yang diletakkan di luar Flat Teluk Indah, Perai, Pulau Pinang.

Dia mengakui jawatankuasa tersebut sudah bertahun-tahun menerima dana daripada kerajaan Pulau Pinang, tetapi ia hanya cukup untuk membaiki kerosakan kecil.

Hanya penyelesaian jangka panjang yang dapat menyediakan persekitaran yang bersih untuk penghuni flat itu, katanya.

Katanya, bil air terkumpul untuk flat itu mencecah RM1.5 juta manakala bil elektrik tertunggak sebanyak RM500,000, dan dia meminta penyelesaian daripada pihak berkuasa.

Datuk Bandar Seberang Perai Rozali Mohamud berkata, majlis bandaraya berulang kali menghantar kru pembersihan “bersenjatakan” hos pemadam api untuk membersihkan kawasan itu – kali terakhir pada 22 Jan. Dalam masa tiga hari, kawasan itu kembali kotor, menurut Rozali.

“Sejak 2014, kami telah menghantar kru untuk membersihkannya setiap tiga bulan sekali,” kata beliau.

“Malah kerajaan negeri menjelaskan hutang bil elektrik sebanyak RM1 juta beberapa tahun lalu.”

Leave a Reply