AS selar tindakan keras Russia terhadap penunjuk perasaan

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menyelar pihak berkuasa Russia kerana melakukan tindak balas ‘keras’ terhadap protes di seluruh negara itu.

Protes itu dilaksanakan bagi menggesa pembebasan pengkritik Kremlin, Alexei Navalny, yang dipenjarakan.

“AS mengutuk kekerapan penggunaan taktik keras oleh pihak berkuasa Russia terhadap protes aman dan wartawan untuk minggu kedua berturut-turut.



“Kami sekali lagi menggesa Russia membebaskan individu yang ditahan hanya kerana menggunakan hak kemanusiaannya,” katanya menerusi Twitter, hari ini, selepas polis Russia menahan lebih 1,000 penunjuk perasaan, termasuk 142 di Moscow.

Pihak berkuasa Russia meningkatkan tekanan terhadap pihak yang menentang penahanan dan siasatan jenayah, termasuk terhadap beberapa pihak yang membantu Navalny.

Protes pada minggu kedua bermula di beberapa bandar hari ini, antaranya Moscow, Saint Petersburg dan Vladivostok di Timur Jauh, di mana beberapa puluh penunjuk perasaan berhimpun di dataran pusat walaupun polis menutupnya menjelang himpunan itu.

Navalny yang juga pesaing utama Presiden Russia, Vladimir Putin, ditahan di lapangan terbang Moscow pada pertengahan bulan ini ketika pulang ke negara itu dari Jerman.



Beliau ke Jerman untuk mendapatkan rawatan akibat keracunan pada Ogos lalu, yang didakwa dilakukan Kremlin.Ketua pembangkang berusia 44 tahun itu yang kemudian menerbitkan satu siasatan mendakwa Putin memiliki istana Black Sea bernilai AS$1.5 bilion (RM6.06 bilion) secara rahsia, turut mencetus protes jalanan terbesar di Russia sejak beberapa tahun lalu.

Putin menafikan beliau atau keluarganya memiliki istana itu. – AFP

Related Articles

One Comment

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker