Pasukan kalah kali keempat, Penyokong bakar pusat latihan

PARIS: Aksi Ligue 1 antara Marseille menentang Rennes ditangguhkan selepas ribuan penyokong menyerbu Pusat Latihan Robert Louis-Dreyfus, hari ini yang menyaksikan 25 tangkapan dibuat selepas pertembungan dengan pihak polis.

Skuad bimbingan Andre Villas Boas itu beraksi cemerlang pada musim lalu sekali gus menyalakan harapan baharu kepada gergasi Ligue 1 itu.

Namun, kekalahan empat kali berturut-turut selain pengakuan Villas Boas yang tidak ditawarkan kontrak baharu menyebabkan penyokong meluahkan kemarahan mereka di padang latihan pasukan itu.

Sepanduk dapat dilihat di sekitar bandar raya itu yang menyuarakan ketidakpuasan hati kepada pasukan dan pengurusan.

Lebih memburukkan keadaan pada sebelah petang, kira-kira 200 penyokong meluru masuk ke padang latihan dan Radio Monte-Carlo (RMC) melaporkan mercun dan bom asap turut dinyalakan.

Malah, penyokong yang marah turut membakar pokok.

Penyokong memasuki premis latihan dan dilaporkan ‘merampas, membuka dan membaling’ beg pakaian Villas Boas sementara pertahanan, Alvaro Gonzalez turut dibaling dengan ‘sesuatu’ ketika cuba berdepan penyokong.

Insiden itu menyaksikan 25 tangkapan dibuat dengan polis tempatan ‘mengutuk keganasan yang tidak boleh diterima’ itu dan menyebabkan aksi menentang Rennes ditangguhkan tiga jam sebelum berlangsung. – Agensi

BERITA BERKAITAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker