Dua lelaki bawa 415kg daun ketum nekad rempuh SJR sebelum ditahan

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam selepas polis menerima maklumat berkaitan kenderaan yang dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan.

Suspek kemudian bertindak memecut kenderaan dan cuba meloloskan diri apabila melihat kehadiran anggota unit kereta peronda (MPV) polis.

Aksi kejar mengejar berlaku sejauh 20 kilometer sebelum kenderaan dipandu suspek terbabas dan akhirnya ditahan polis.

“Selepas sejauh 20 kilometer mengejar suspek, pemandu kenderaan itu bertindak merempuh SJR Batu 6 apabila sampai di kawasan itu. Insiden itu menyebabkan kenderaan tersebut terbabas di hadapan sebuah stesen minyak yang berada berhampiran SJR.

“Susulan daripada itu, kedua-dua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis,” ujarnya dalam sidang media pada Jumaat.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek membawa kepada penemuan 83 bungkusan plastik hitam dipercayai daun ketum seberat 415 kilogram, dua biji pil kuda dan sebilah kapak.

Siasatan awal mendapati, kedua suspek mendapat bekalan daun ketum berkenaan di Kedah sebelum diedarkan di sekitar Kota Bharu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya.

Terdahulu, video kejadian berkenaan tular di laman Facebook selepas dirakam beberapa pengguna jalan raya berhampiran lokasi kejadian.

 

Leave a Reply