Remaja 16 tahun ditahan rancang serangan dua masjid di Singapura
SINGAPURA: Pihak keselamatan Singapura telah menahan seorang remaja lelaki tempatan berusia 16 tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didapati merancang dan membuat persiapan terperinci bagi melakukan serangan pengganas terhadap dua buah masjid di republik itu.
Remaja tersebut, seorang penganut agama Kristian dari mazhab Protestan berketurunan India, ditahan Disember lalu dan merupakan tahanan termuda ISA yang dipengaruhi ideologi pelampau sayan kanan.
Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), pada Rabu, pelajar sekolah menengah itu menjadi radikal sendiri dengan didorong rasa benci terhadap Islam dan cenderung terhadap keganasan.
“Dia menonton penstriman langsung video mengenai serangan keganasaan terhadap dua masjid di Christchurch, New Zealand, oleh Brenton Tarrant pada 15 Mac 2019 dan membaca manifesto penyerang itu.
‘”Dia juga menonton video propaganda ISIS dan membuat kesimpulan bahawa ISIS mewakili agama Islam dan Islam menyuruh penganutnya membunuh orang bukan Islam,” kata ISD.
Jabatan itu berkata jelas daripada rancangan dan persediaan melakukan serangan, remaja tersebut dipengaruhi oleh tindakan dan manifesto Tarrant.
Antara lain, ISD berkata, remaja itu bercadang melakukan serangan ke atas dua masjid di Singapura – Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak pada 15 Mac 2021, sempena ulang tahun kedua serangan keganasan di Christchurch.
“Semasa siasatan, dia mengakui dia hanya dapat meramalkan dua hasil daripada rancangannya iaitu ditangkap sebelum melakukan serangan atau melaksanakan rancangan dan kemudian dibunuh oleh polis,” menurut ISD.
Jabatan itu berkata siasatan setakat ini menunjukkan bahawa remaja itu bertindak bersendirian.
“Tiada tanda menunjukkan dia cuba mempengaruhi sesiapa mengenai fahaman ekstrem yang dipegangnya atau terbabit sesiapa dalam perancangannya. Anggota keluarga dan kenalannya tidak menyedari rancangannya untuk melancarkan serangan mahupun rasa kebenciannya yang mendalam terhadap Islam,” kata jabatan itu.
BERNAMA
You must be logged in to post a comment.