Mahkamah digesa ketepi bayaran RM70,000 dikenakan pada wanita Mongolia

 

Dua anggota Parlimen menggesa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar menimbang semula keputusan menggugurkan kes saman warga Mongolia terhadap seorang anggota polis yang didakwa merogolnya.

Ia selepas warga Mongolia itu dilaporkan gagal membayar deposit RM70,000 sebagai jaminan kos.

Terdahulu, Hakim Azimah Omar membatalkan saman berkaitan serangan seksual dan penahan salah yang difailkan terhadap pegawai polis berpangkat inspektor, Hazrul Hizham Ghazali.

Hakim juga memerintahkan wanita itu membayar RM6,500 sebagai kos kepada Hazrul.

Ia selepas dia gagal membayar RM70,000 yang dimohon Hazrul sebagai jaminan kos susulan statusnya sebagai warga asing.

Dalam kenyataan hari ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dan Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei meminta mahkamah mengetepikan bayaran jaminan itu.

“Kami meminta mahkamah untuk bersikap belas kasihan (dan) mengetepikan pembayaran jaminan RM70,000

“(Kami juga meminta) buka semula kes agar mangsa dapat akses terhadap keadilan sewajarnya dan menunjukkan mahkamah memandang serius isu salah guna kuasa oleh autoriti,” kata mereka.

April tahun lalu, Hazrul antara lain dihadapkan dengan pertuduhan memperdagang dan merogol dua warga Mongolia.

Lelaki berusia 30 tahun itu dikatakan telah menahan kereta mangsa ketika bertugas menjaga sekatan jalan di Plaza Tol NPE di Petaling Jaya, Selangor.

Dia kemudian dikatakan membawa mereka ke hotel, bukannya balai polis seperti yang sepatutnya.

Dia didakwa menyalahgunakan kedudukan sebagai anggota polis dan menggunakan kekerasan jenayah untuk melakukan jenayah.

‘Harga mahal untuk keadilan’

Maria dan Lim meluahkan kegusaran atas implikasi keputusan mahkamah terhadap saman tersebut.

“Ia petanda kepada mangsa rogol lain yang mereka kena ada sekurang-kurangnya RM70,000 dalam akaun bank untuk boleh memfailkan saman ke atas (orang yang didakwa) perogol mereka […]

“Keputusan mahkamah telah menjadikan proses membuat laporan lebih sukar buat mangsa.

“Kami berharap mahkamah lebih berbelas kasihan dan tidak mengenakan jurang begitu besar terhadap mangsa yang ingin mendapat keadilan, terutama mereka yang kurang berkemampuan,” kata mereka lagi.

Peguam dua warga Mongolia itu, Mathew Thomas Philip, telah memulakan kempen meraih dana dalam talian bagi mengumpul RM46,500 untuk membolehkan wanita itu memfailkan semula samannya di Mahkamah Sesyen.

Setakat 6.30 petang tadi, kempen tersebut meraih sebanyak RM10,598.

Terdahulu, wanita itu berkata dia berhasrat meneruskan kes meskipun reputasinya telah tercemar di negara asalnya dan berdepan kesukaran untuk mendapat sokongan keluarga dan rakan.

“Saya berdepan kesukaran sekarang tetapi saya tidak mahu melepaskan tuntutan sivil ini kerana ia bermakna menyerah kalah kepada polis itu,” katanya menerusi Philip.

Leave a Reply