Gangguan bekalan air: MP PKR saman kerajaan Selangor



Sebaran :


Anggota Parlimen Wangsa Maju dari Pakatan Harapan (PH) Tan Yee Kew akan mengetuai 750 pengguna untuk memfailkan tuntutan saman terhadap kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR, kerajaan persekutuan dan beberapa pihak lagi atas gangguan air akibat pencemaran di sungai utama di Lembah Klang.

Pada Oktober 2020, wakil rakyat dari PKR itu juga berkata akan memulakan tindakan undang-undang terhadap pihak jabatan air dan pencemar pada Oktober 2020.

Bagi tuntutan terbaru ini, Tan menjangkakan saman itu akan difailkan di mahkamah pada minggu depan.



Jelas Tan, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas) akan dinamakan sebagai responden dalam tuntutan mahkmah ini.

Selain itu, Tan juga memutuskan untuk menyaman syarikat swasta Pakar Scieno TW Sdn Bhd susulan dakwaan kegagalan untuk memaklumkan pihak berkuasa berhubung pencemaran sungai di Selangor sehingga menyebabkan masalah gangguan bekalan air.

“Pihak peguam sudah menyiapkan draf dokumen tuntutan saman, tetapi kita memperolehi imput baru yang menyatakan bahawa kita perlu saman kerajaan persekutuan juga. Kami mendapat maklumat lanjut dari Pakar Scieno.



“Syarikat itu diberikan kontrak untuk mengawasi pencemaran dan memberi peringatan awal. Tetapi jelas, mereka gagal melakukannya…. Jadi kami ingin saman syarikat itu,” katanya.

“Kami mahu dapatkan pengadilan dan juga inginkan agensi kerajaan dan jabatan untuk lebih telus. Mereka tidak boleh lepas tangan.

“Kita akan minta mahkamah putuskan siapa yang patut bertanggungjawab dan mengabaikan tugas mereka,” tambahnya.



Dia berharap kontrak kerajaan bagi konsesi air dan alam sekitar yang bermanfaat bagi syarikat konsesi itu akan didedahkan semasa prosiding mahkamah.

Sementara itu, Tan juga berkata samannya terhadap kerajaan negeri itu juga tidak akan menjejaskan hubungannya dengan PKR.

Katanya, ini kerana prinsip PKR juga mahukan reformasi dan kerajaan yang bagus.



“Jika terdapat kesalahan dalam agensi kerajaan, kenapa kita perlu sorokkan? Ini bukan prinsip reformasi kita.

“Jika ada ahli politik yang melakukan kesalahan, mereka perlu dihukum. Jika ahli politik, exco, menteri besar dan menteri mengabaikan tugasnya, maka bukankah wajar mereka diturunkan? Mereka perlu meletak jawatan,” tegasnya.

Dia juga tidak setuju bahawa hanya kilang yang menyebabkan pencemaran perlu bertanggungjawab atas gangguan air.



Pada Oktober 2020, kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan air tidak berjadual sebanyak empat kali dalam jangka masa sebulan. Sebelum itu, terdapat 18 kejadian gangguan air antara bulan Mac dan Ogos, 2020. Mk


Sebaran :


One thought on “Gangguan bekalan air: MP PKR saman kerajaan Selangor

  • Tengok..MP PKR saman kerajaan sendiri..UMNO ada pernah saman kerajaan tak masa dia kerajaan?

    Reply

Leave a Reply