Pengalaman pahit 7 sekeluarga di Melaka dijangkiti Covid-19 lepas hadir majlis kahwin


Tujuh sekeluarga di Taman Bukit Cheng di sini “takut, cemas dan sedih” apabila disahkan positif Covid-19 pada awal bulan ini, sebelum sembuh daripada jangkitan virus pembunuh itu.

Selain mereka, turut dijangkiti adalah tujuh saudara lain, iaitu ibu mertua, adik ipar lelaki, adik ipar perempuan dan suami bersama dua anak serta seorang kakaknya turut disahkan positif Covid-19.

Pengalaman pahit mereka bermula selepas menghadiri majlis perkahwinan di Melaka Pindah, Alor Gajah pada 2 Jan lalu, lapor Sinar Harian.

Bekas pesakit Covid-19, Mohd Azmi Abu Bakar, 37, berkata, beliau bersama isterinya, Siti Hajar, 37, dan lima anak berusia 3 hingga 10 tahun disahkan positif pandemik tersebut pada 9 Jan selepas membuat saringan di Klinik Kesihatan Batu Berendam dan menjalani kuarantin selama 10 hari di Hospital Besar Melaka.

Azmi berkata, mereka menyedari menghidap Covid-19 selepas kakak iparnya disahkan positif dan mereka sekeluarga merupakan kontak rapat.

“Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan kami. Takut, cemas, sedih…semua ada. Ia kerana sebelum itu kami ada bersama kak long (kakak ipar) di rumah dan anak-anak pun bermain bersamanya.

“Sebelum buat saringan, kami semua ada gejala demam, tekak rasa tak selesa dan anak-anak mula mengadu sakit ketika bernafas. Kami akhirnya dipanggil buat saringan.

“Dua hari selepas itu, kami tujuh beranak bersama ahli keluarga yang lain disahkan positif Covid-19.

“Pada 11 Jan, kami dapat panggilan telefon daripada pihak hospital memaklumkan dua ambulans akan mengambil kami untuk ke hospital dan dikuarantin serta rawatan lanjut,” katanya.

Azmi berkata, beliau sekeluarga dan ibu mertuanya dibawa ke hospital Melaka, manakala adik ipar lelaki bersama birasnya dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps).

“Adik ipar perempuan saya dan dua anaknya termasuk seorang bayi dibawa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor, sementara kakak ipar diminta dikuarantin di rumah memandangkan hanya bergejala ringan,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang berada di hospital, mereka dilayan baik oleh doktor dan jururawat serta diberi makanan diet seimbang mengikut keperluan pesakit.

Azmi berkata, selepas mereka sekeluarga menjadi mangsa Covid-19, barulah beliau akur virus itu memang berbahaya.

“Bagi saya ia penyakit yang benar wujud dan perlu dijauhi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Yang penting, jangan sesekali kita mengalah dan putus asa apabila disahkan positif Covid-19 kerana jika kita kuat semangat, berdoa dan tidak lemah, kita akan segera pulih,” katanya. FMT

Tragedi Tahun Baru

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker