Tragedi Tahun Baru

BETONG – Hasrat sembilan sekeluarga menghantar salah seorang ahlinya ke sekolah di Ku­ching berkecai apabila kesemua mereka termasuk bayi berusia empat bulan lemas selepas kenderaan pacuan empat roda (4X4) yang dinaiki terjunam ke dalam sungai Batang Lupar di sini semalam.

Kejadian pukul 3.10 petang itu berlaku apabila kenderaan jenis Ford Ranger itu tergelincir dari feri di Laluan Beladin-Triso di Kampung Teriso di sini selepas diarahkan keluar ekoran muatannya sudah penuh.

Mereka yang maut ialah Siti Aisha Abdullah, 36, Ronany Ting, 33, Nor Shuhada Mohamad, 16, Khairunnisa Muhamad, 14, Alvin Phang, 12, Mohd Aiman Mohd. Hamdan, 7, Wallace Phang, 7, Muhd Mustaqim Mohd. Hamdan, 5, dan Mohd. Ahmad Mohd. Hamdan, empat bulan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, kejadian tersebut berlaku semasa ken­deraan tersebut diarahkan untuk berpatah balik ke tebing.

“Semasa kejadian, kende­raan tersebut berada di atas laluan utama untuk masuk ke feri. Namun, pemandu Ford Ranger tersebut diarahkan berpatah balik selepas feri yang cuba dinaiki telah penuh.

“Bagi mengelakkan keadaan di laluan sesak dengan kenderaan turun dari feri lain, pemandu itu diarahkan naik ke laluan utama. Namun semasa pemandu mengundurkan kenderaan dipercayai tayarnya tergelincir dan terjunam masuk ke dalam air,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook, Dyg Junailah Leyent membuat siaran langsung mengenai tragedi tersebut sebelum menjadi tular.

Video tersebut menunjukkan kesemua lapan mangsa yang terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dengan bantuan feri dan juga jentolak di lokasi.

Kesemua mangsa dilihat berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan ada juga orang awam yang dilihat memberi bantuan pernafasan kepada mangsa di tebingan feri.

Mayat kesemua mangsa telah dibawa pihak polis ke Klinik Kesihatan Beladin untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

Setakat pukul 10 malam tadi, kesemua mayat masih ditempatkan di klinik tersebut.

[VIDEO] 9 dikhuatiri lemas selepas kenderaan jatuh dari feri

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker