Kesan PKP yang tersembunyi dan membunuh

gambar hiasan

PETALING JAYA: Perintah kawalan pergerakan (PKP) terbaru yang dijangka berkuat kuasa selama empat minggu akan menyebabkan lebih banyak pekerjaan hilang, berkurangnya dan keuntungan dan penutupan lebih banyak perniagaan.

Ia juga bakal membawa keresahan, perasaan marah dan kemurungan, malah peningkatan insiden bunuh diri susulan pengasingan sosial, serta peningkatan keganasan rumah tangga, kata pakar kesihatan mental.

Semasa PKP tahun lepas, sejumlah 266 individu membunuh diri dari 18 Mac hingga 31 Okt, iaitu purata 30 kes sebulan, atau satu kes setiap hari.

Pakar psikologi dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Lihanna Borhan berkata, isu kesihatan mental dijangka meningkat melainkan langkah berkesan diambil.



“Kita harus bersiap sedia. Kita tidak dapat menjangka berapa buruk keadaan yang akan berlaku, tetapi akan ada kes. Malah kes bunuh diri dan keganasan rumah tangga juga mungkin bertambah kerana orang ramai berdepan dengan perasaan marah, resah dan kemurungan (semasa PKP),” katanya kepada FMT.

“Perasaan marah mungkin berpunca daripada individu yang terasing di rumah sekali lagi.

“Ramai individu biasa mengikuti SOP, tetapi angkanya mungkin lebih besar daripada sebelum ini. Perasaan kecewa akan meningkat, dan akan mencetuskan kemarahan,” katanya.

Lihanna berkata, rakyat Malaysia pernah mengalami kesan pelaksanaan PKP pada 2020, dan berasa bimbang berhubung kehidupan mereka.



“Perniagaan baharu sahaja beransur pulih. Mereka baharu memulakan perniagaan pada tahun baharu ini. Kini mereka berdepan dengan PKP semula.”

Beliau berkata, ketidaktentuan yang dihadapi semasa PKP berkemungkinan tidak sihat. Justeru, orang ramai tidak harus dibiarkan berasa bersendirian sewaktu berdepan kebimbangan mereka.

Beliau menggesa kerajaan mewujudkan khidmat pesanan yang, antara lain akan menggalakkan orang ramai makan makanan yang sihat dan menjalankan aktiviti fizikal.

“Perlu ada usaha bersepadu antara agensi kerajaan dan NGO. Kita tidak harus membiarkan hanya Berfrienders memikul beban itu. Banyak NGO terlibat dalam hal ini dan dengan usaha bersepadu, banyak yang boleh dicapai,” katanya.



Lihanna bagaimanapun berkata, usaha yang dilakukan tidak harus dilihat sebagai langkah politik kerana orang ramai akan terus menyalahkan ahli politik sebagai punca keadaan hari ini.

Beliau menggesa NGO mengambil langkah mula dengan sokongan agensi kerajaan.

Pengarah Pentadbiran Bukit Aman Ramli Din dilaporkan berkata, kebanyakan kes bunuh diri tahun lepas berpunca daripada masalah hutang (25%), diikuti masalah rumah tangga (24%) dan masalah dalam perkahwinan (23%).

Dalam pada itu, putus hubungan mewakili 15% kes, manakala faktor lain, termasuk tekanan kerja, halusinasi dan masalah mental yang berpunca daripada dadah menyumbang kepada 13% kes.



Bekas presiden Persatuan Psikologi Malaysia Goh Chee Leong berkata, kurangnya interaksi sosial boleh menimbulkan beberapa isu kesihatan mental, termasuk keresahan yang membawa kepada kemurungan.

“Kita adalah makhluk sosial dan kegagalan bertemu kawan-kawan, keluarga dan terpisah dari anggota keluarga boleh membawa kepada keterasingan sosial.

Kurang interaksi boleh membawa kepada masalah mental, terutamanya kemurungan dan keresahan.

“Wujud risiko isu kesihatan mental,” katanya kepada FMT.



Ketua pegawai eksekutif REAL Education Group itu berkata, PKP juga boleh menimbulkan isu kesihatan mental dalam komuniti perniagaan dan kebimbangan pekerja berkait pekerjaan, kehidupan dan kesan ekonomi ke atas mereka.

Hampir 800,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan tahun lepas.

Goh bagaimanapun berharap, oleh kerana rakyat Malaysia pernah berdepan PKP tahun lepas, maka mereka seharusnya mampu menghadapinya kali ini.

Katanya, salah satu kesan positif PKP ialah keluarga berasa terjamin mereka selamat daripada Covid-19 kerana mereka kini bekerja dari rumah.



Beliau berkata, tahun lepas tahap keresahan mungkin lebih tinggi kerana orang ramai mengalaminya buat kali pertama dalam hidup mereka.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker