Hak asasi manusia merosot di bawah PN – laporan



Sebaran :

Laporan tahunan sebuah NGO antarabangsa yang dikeluarkan semalam berkata bahawa hak asasi manusia di Malaysia merosot di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Laporan itu berkata bahawa kerajaan secara agresif melanggar kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman serta melakukan serangan terhadap media.

“Gabungan kerajaan ini menghentikan gerakan reformasi hak asasi manusia yang diusahakan oleh Pakatan Harapan (PH),” kata Human Right Watch (HRW) dalam laporan tahun 2021 itu.



“Kebebasan bersuara dan kebebasan media menjadi terancam setelah perubahan kerajaan ketika pihak berkuasa membuka siasatan hasutan terhadap aktivis Fadiah Nadwa Fikri kerana menganjurkan protes terhadap cara PN mengambil alih kuasa,” kata laporan itu.

“Sejak itu, pihak berkuasa telah membuka siasatan ke atas banyak aktivis dan ahli politik pembangkang kerana ucapan kritik terhadap kerajaan,” kata HRW, sambil menambah bahawa lebih daripada 520 kertas siasatan telah dibuka atas dakwaan berita palsu dan hasutan, selain ‘berita palsu’ Covid-19 sehingga 11 Mei.

Laporan itu mendakwa bahawa tindakan tegas diambil terhadap media dan wartawan yang “salah melaporkan” berita.



Ia memetik siasatan terhadap wartawan South China Morning Post Tashny Sukumaran dan editor portal berita kesihatan CodeBlue Boo Su-Lyn serta dakwaan penghinaan mahkamah terhadap ketua editor Malaysiakini, Steven Gan.

Pada bulan Julai, Kementerian Dalam Negeri juga melarang buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan setelah mendakwa bahawa sampul buku itu menyerupai lambang negara.

Tashny disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung laporannya mengenai serbuan yang dilakukan terhadap pendatang tanpa izin yang ditangkap di kawasan di bawah PKPD. Kerajaan memutuskan bahawa “tidak ada tindakan selanjutnya” terhadap kes itu.



Boo disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) berhubung artikel yang berkaitan dengan kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA) beberapa tahun lalu di Johor Bahru. Sementara, Gan didakwa menghina mahkamah atas komen yang dibuat oleh lima pembaca dalam laporan berita Malaysiakini, yang sedang menunggu keputusan mahkamah.

“Malaysia telah mengalami pencabulan hak asasi manusia yang luar biasa pada tahun 2020. Harapan untuk reformasi hak asasi manusia tidak pernah meningkat begitu pesat di Malaysia atau nerosot begitu cepat,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah HRW Asia.

Untuk rekod, pada Januari 2019, Robertson sendiri tidak berpuas hati dengan kelembapan pembaharuan yang dilakukan oleh kerajaan PH.



PH telah menjanjikan perubahan besar, termasuk mereformasi institusi kerajaan dan memansuhkan undang-undang penindasan, termasuk Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah dan Akta Majlis Keselamatan Negara. Namun, pemansuhan undang-undang yang dijanjikan ini tidak menjadi kenyataan.

“Salah guna kuasa polis terhadap suspek yang dalam tahanan terus menjadi masalah serius, dan kekurangan akaunbiliti ke atas kesalahan tersebut,” kata HRW lagi dalam laporan itu.

Menurutnya, kerajaan bercadang menggunakan Suruhanjaya Tingkah Laku Polis Bebas, versi Suruhanjaya Pengaduan dan Salah Laku Polis Bebas (IPCMC) yang kurang jelas setelah pasukan polis membantah IPCMC.



“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin nampaknya berniat mengheret Malaysia kembali ke masa lalu kerajaan Najib (Abdul Razak) yang buruk, apabila seseorang berbicara secara terbuka mengenai topik sensitif, polis akan segera mengetuk pintu anda. Kerajaan harus berhenti melakukan perkara ini dan menghormati sepenuhnya hak semua orang,”kata Robertson.

Laporan itu juga menyatakan bahawa “diskriminasi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tetap meluas di Malaysia”.

Ia mengatakan: “Pada bulan Julai, menteri yang bertanggung jawab atas urusan agama memberikan ‘lesen penuh’ kepada pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan terhadap orang transgender, baik melalui penangkapan atau pendidikan agama untuk ‘mengembalikan’ mereka ke ‘jalan yang benar’.”



Pada bulan Ogos, setelah aktivis Nicole Fong mengulas keputusan “lesen penuh” ini dengan menyiarkan siri infografik dalam talian yang kritikal terhadap program “mukhayyam – yang sebahagiannya bertujuan untuk mempengaruhi orang LGBT untuk melepaskan identiti gender atau orientasi seksual mereka yang dianggap tidak normal – pihak berkuasa agama membuat laporan polis terhadapnya.

Laporan Human Rights Watch World 2021 setebal 761 muka surat itu meninjau amalan hak asasi manusia di lebih 100 negara.


Sebaran :


Leave a Reply