‘Arwah Berkejar Masa Nak Tolong Penduduk’.. Sungguh Mulia Niat Arwah Mohammad Hakimin 😥

Kuala Krai: “Sebelum keluar rumah tengah hari semalam, Mohammad Hakimin sempat makan nasi bersama telur goreng dan dia memberitahu berkejar masa untuk menyelamatkan penduduk selepas kampung mereka mula dinaiki air banjir,” kata Norazilah Mohamad, 46.

Norazilah adalah ibu kepada Allahyarham Mohammad Hakimin Rahim, 20, yang ditemukan lemas selepas terjatuh dari perahu ketika dalam perjalanan menghantar mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kejadian di Kampung Manjor, dekat sini, malam tadi.

Norazilah berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu ringan tulang kerana suka membantu penduduk yang berada dalam kesusahan selain sanggup mengambil upah membeli barang keperluan penduduk yang terkandas setiap kali berlakunya banjir.



“Sehari sebelum penempatan kami dinaiki air, arwah yang baru saja balik dari bermain futsal terus mengejutkan penduduk apabila melihat air mula naik mendadak. Arwah meminta penduduk supaya berkemas untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan.

“Sebelum kejadian pada malam tadi, arwah mengarahkan saya supaya mengemas barang dengan tergesa-gesa pada jam 5.30 petang dan kemudiannya membawa saya dan ahli keluarga berpindah ke rumah saudara berdekatan dengan menaiki perahu yang dipinjam daripada penduduk kampung,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, dalam kejadian yang berlaku malam tadi, rakannya menghubungi untuk menumpang ke PPS berdekatan dan Allahyarham segera ke seberang untuk menjemput dengan mendayung perahu.

“Namun, ketika dalam perjalanan ke PPS, rakannya tidak menyedari kehilangan arwah kerana dia sedang mendayung perahu berada pada arah bertentangan.



“Sebaik menyedari arwah hilang daripada pandangan, rakannya cuba mencari di kawasan berhampiran, namun keadaan gelap selain arus air deras menyebabkan dia berpatah balik dan memberitahu kejadian yang menimpa Mohammad Hakimin,” katanya.

Norazilah berkata, suaminya, Mohamad Rahim Mohamad Yusof, 53, kemudiannya meminta pertolongan penduduk untuk mencari anaknya yang hilang itu sebelum menghubungi pasukan penyelamat.

“Dua abang kembarnya iaitu Mohammad Hafizi dan Mohamad Hapipi, masing-masing berusia 23, tetap menunggu arwah dari pagi sehingga Subuh sambil mengais dasar sungai menggunakan buluh sehinggalah dia ditemui pada pagi tadi.

“Saya juga terkilan kerana Mohammad Hakimin tidak sempat menghadiri temu duga sebagai anggota polis selepas dia membuat permohonan pada tahun lalu,” katanya.



Katanya, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Manjor selepas solat Asar pada petang ini.

“Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan berdoa agar roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, mayat mangsa dijumpai oleh ahli keluarganya di dasar sungai di tempat dia dilaporkan terjatuh dari perahu jam 8.30 pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa tiba-tiba pengsan lalu terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua penumpang untuk ke PPS berdekatan.



Mangsa dikatakan terlalu kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi sehingga malam.

Al-Fatihah: Lemas ketika bantu mangsa banjir berpindah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker