Bersatu tergelincir matlamat.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya pasti bersetuju bahawa ini bukanlah permulaan yang paling molek dan cantik untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Memang benar, menjadi parti utama dalam kerajaan dengan hakikat ‘asas sebenar kekuatan politik’ di peringkat akar umbi cukup perlus, bukanlah sesuatu yang ideal dan mudah.

Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu berlaku dalam suasana yang sangat tidak murni. Banyak kecelaruan pemikiran yang sedang berlaku dalam Bersatu.

Seorang pemimpin bercakap tentang integriti dan kepentingan menjana kewibawaan parti, dan seorang pemimpin lagi bercakap tentang harapan sengoti untuk memastikan pimpinan bahagian mendapat laba dan jawatan politik.

Masyarakat umum, khususnya warga maya (netizen) mentertawakan suasana ini. Rakan dan sekutu politik meremehkan nawaitu perubahan yang cuba dibawa Bersatu.



Masyarakat umum dan khususnya orang Melayu pastinya bermimpi di siang hari untuk memperoleh wadah politik yang suci bersih melalui Bersatu. Maaf cakap, tidak ada sekelumit niat ‘reformis’ dan perubahan dalam parti ini.

Angan-angan kosong untuk menggantikan UMNO sebagai parti pilihan orang Melayu sebenarnya jauh panggang daripada api. Jika PAT yang baru ini dijadikan sandaran kekuatan – rasanya Bersatu akan berdepan dengan kesukaran.

Hari ini, belum pun seminggu selepas PAT, Ketua Armada sendiri sedang berdepan serangan peribadi di dalam parti. Kalangan orang lama dalam Bersatu sedang bersiap sedia ‘menghenyak’ tindakan Syed Saddiq yang kelihatan menyerang kalangan ketua bahagian yang bercakap tentang ‘kontrak dan peluang kerja kerajaan’.

Penekanan tentang perolehan dan faedah politik tidak hanya menjadi cakap-cakap kosong; malahan diberikan peneguhan oleh seorang naib presiden parti.



Bersatu Menggantikan UMNO?

Antara ayat biasa yang diulang-ulang kepimpinan Bersatu adalah kemungkinan parti tersebut menggantikan UMNO sebagai wadah politik orang Melayu. Maka dengan itu, usaha dan ikhtiar dilaksana bagi merosak imej UMNO.

Bait ayat normal yang selalu diungkap, kerajaan terdahulu adalah kerajaan ‘perompak, penyamun dan kleptokrat’ (PPK). PPK ini menjadi sifir politik baharu. Ayat ‘kolusi, kronisme dan nepotisme’ (KKN) yang pernah menjadi sifir sekitar akhir 90-an tidak boleh dipakai selalu. Takut terpalit negatif sesetengah pihak.

Bersatu mahu digambarkan sebagai opsyen paling wajar kepada orang Melayu. Opsyen ini hadir secara automatik kerana Bersatu menerajui kerajaan. Suara Bersatu digambarkan paling kuat dan afdal dalam membuat keputusan politik.



Andai ada masalah sedang menghimpit orang Melayu, Bersatu dan pimpinan utamanya ada cuca serapah yang boleh menyedarkan orang Melayu. Retorik lama ‘Melayu pemalas’ dihambur semahunya. Sifir PPK diulang-ulang di telinga orang Melayu.

Persoalannya, apakah kekuatan Bersatu yang ada ‘sekarang’ ini berasaskan kepercayaan dan mandat orang Melayu yang jelas. Cuba kita semak asas kekuatan kalangan menteri yang mewakili Bersatu dalam kerajaan. Syed Saddiq (P146; Muar) tidak menang secara selesa dengan undi orang Melayu. Hampir 35 peratus undi bukan Melayu memenangkan Ketua Armada.

Situasi sama berlaku di kawasan Parlimen Tambun. Di atas kertas, kita dapat melihat dengan jelas bahawa wakil rakyat Bersatu terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu. Keputusan di Parlimen Kuala Pilah juga hampir sama.

Tsunami politik memberikan sedikit kelebihan kepada calon Bersatu, kerana mereka mendapat ‘ihsan’ undi bukan Melayu. Semua orang tahu, landskap politik ini belum tentu kekal di masa hadapan.



Datuk Seri Redzuan Yusof (P135; Alor Gajah) juga bergantung lebih 40 peratus undi bukan Melayu. Hanya Datuk Seri Rina Mohd Harun di Titiwangsa boleh dikatakan memperoleh kemenangan berasaskan undi orang Melayu.

PPBM patut menyemak asas kekuatan ini sebelum terlalu galak menjual kemungkinan bahawa mereka boleh dan mampu menggantikan UMNO.

Sejujurnya, prestasi para menteri daripada Bersatu masih menghadirkan walang hati dan curiga dalam kalangan orang Melayu dan rakyat.

Tidak ada agenda dan ikhtiar baharu. Sebahagian besar daripada mereka masih gemar mengukuh kedudukan diri dengan ‘strategi pemasaran peribadi’; yang terlalu asing daripada usaha membangun kemampuan umat Melayu secara keseluruhannya. Ada yang sanggup memberikan markah cemerlang kepada diri sendiri.



Senjata Makan Tuan

Strategi menyerang dan menghina UMNO secara keterlaluan dan melampau oleh kepimpinan Bersatu boleh mendatangkan bencana yang tidak dijangka. Sifir yang diulang-ulang tanpa ada fakta, malahan beranalogikan perkara-perkara sangat spekulatif sifatnya.

Lagi pula, kebanyakan kes telahpun di bawa ke mahkamah dan perlu diperdebatkan di dalam parameter perundangan. Perbicaraan di dalam media tidak menzahirkan wibawa kepada kerajaan dan kepemimpinan Bersatu.

Mengeji dan memaki hamun UMNO perlu ada had dan batasnya. Rakyat mahu melihat prestasi sebenar menteri dalam menjaga kepentingan dan menyelesai permasalahan rakyat. Itu tidak berlaku ketika ini.



Walaupun ada cubaan Menteri Kewangan meredakan kemarahan rakyat dengan pengumuman-pengumuman yang agak positif; namun suhu keresahan dan kekhuatiran rakyat belum turun seperti dijangkakan.

Pengumuman ‘Bantuan Sara Hidup’ (jelmaan semula Bantuan Rakyat 1Malaysia, BR1M) gagal membawa impak positif. Harga barang dan kos sara hidup meningkat. Harga komoditi semakin merosot.

Tidak ada tindakan yang dilihat ‘cukup berkesan’ diperkenal kerajaan. Pemansuhan kenaikan kadar tol; yang pernah digambarkan sebagai strategi ‘hodoh dan jelek’ untuk menyumbat wang ke poket kroni – diulangi dan dilaksana kerajaan bagai tanpa ada rasa bersalah. Inilah sebahagian hipokrasi politik yang sedang rakyat perhatikan.

Di dalam kerangka menyelesaikan isu dan permasalahan rakyat ini, kalangan menteri mewakili Bersatu kelihatan cukup terasing dan terpencil. Mereka lebih gembira berkongsi cerita-cerita kecil kejayaan kementerian dan bukannya perkara-perkara fundamental dan dasar kepada rakyat.

Kecanggungan mereka melaksana tugas dan amanah akan dinilai secara holistik oleh rakyat. Hakikatnya, PAT Bersatu sebagai parti tonggak kerajaan yang berlangsung minggu lalu tergelincir jauh daripada matlamat asal.

Yang diingat, dikenang dan dibahaskan rakyat adalah bagaimana parti yang satu ini tidak secocok dan serasi dengan niat ‘reformasi’ dan perubahan yang diharapkan rakyat. Rakan dan sekutu politik pastinya ‘menepuk dahi’ dengan tingkah laku dan sandiwara politik yang berlangsung sepanjang perhimpunan itu.

Iltizam Tun Dr. Mahathir berpegang kepada janji penyerahan kuasa mendatangkan cuak dan rimas politik kepada Bersatu. Mereka tahu, asas politik mereka lesu dan kelesa.

Prestasi politik Bersatu berada di bawah par, walaupun berulang kali mahu dilunakkan oleh Perdana Menteri. Rasanya, usaha perubahan dalam UMNO lebih diyakini rakyat; sekiranya ia dapat dipakejkan dengan usaha komunikasi politik tepat.

Ingatan buat Bersatu, roda politik boleh berubah. Jangan fikir mereka maksum daripada arus tindakan rakyat. Rakyat masih belum yakin dengan kemampuan Bersatu. Jarang berlaku, namun penulis seakan bersetuju pandangan Rafizi Ramli, bahawa ‘PH sedang kehilangan nadi reformasi’.

Pada hemat penulis, PAT Bersatu yang baru lalu memadam terus potensi dan kemungkinan arus perubahan. Suasana ini, baik untuk UMNO.

DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah

Ahli Parlimen Kepala Batas.

UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker