Ustazah koma selepas jantung terhenti 30 minit ketika bersalin anak ketiga

Ustazah koma selepas jantung terhenti 30 minit ketika bersalin anak ketiga

SIK: “Selepas melahirkan anak kami secara pembedahan, isteri saya pengsan dan koma hingga kini, menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja demi menjaganya dan anak-anak sepenuh masa,” kata Muhammad Shazuan Md Saad, 36.

Bapa kepada tiga anak itu, berkata isterinya, Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 35, yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) memerlukan penjagaan rapi dan perlu diberikan susu melalui tiub setiap tiga jam dan membuang kahak secara kerap.



Beliau berkata, setiap pagi menjadi rutin harian dia menguruskan anak-anak berusia 11, sembilan termasuk anak bongsu mereka yang berusia tiga bulan yang dinamakan Muhammad Zakuan Adha.

“Selepas lahirkan anak menerusi pembedahan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani, isteri saya pengsan dan jantungnya terhenti selama setengah jam sebelum disahkan koma oleh doktor, dia langsung tidak dapat melihat atau mendukung anak yang dilahirkan.

“Doktor beritahu punca isteri saya koma adalah disebabkan air ketuban memasuki saluran darah dan kes itu sangat jarang berlaku, saya difahamkan ia selalunya berakhir dengan kematian,” katanya yang bertugas sebagai siak masjid kampung itu.

Muhammad Shazuan yang lebih dikenali sebagai Wan, berkata susulan nasib malang menimpa isterinya, beliau tidak dapat keluar bekerja sebagai tukang rumah kerana perlu memberi perhatian kepada anak-anak dan isterinya.



Katanya, saudara mara serta jiran banyak membantu meringankan kerja-kerja menguruskan anak-anak termasuk mereka sudi menjaga Muhammad Zakuan Adha secara bergilir-gilir.

“Kakak kepada isteri saya banyak membantu saya sekeluarga selepas isteri saya koma, selain itu jiran saya yang dikenali sebagai Mak Lang Jah bersama anaknya turut membantu menjaga anak saya.

“Saya masih menumpang tinggal di rumah mentua saya, ibu mentua saya Maimunah Ahmad, 75, tidak dapat berjalan kerana masalah saraf, saya dan isteri yang menjaganya sebelum ini,” katanya.

Wan berkata, isterinya perlu minum susu khas yang berharga RM50 untuk satu tin dan menggunakan lampin pakai buang.



Katanya, elaun sebagai siak sebanyak RM700 sebulan, digunakan untuk persekolahan anak-anak dan membeli susu serta lampin pakai buang untuk anak bongsunya.

Manakala katanya, wang untuk membeli tiub, ubat-ubatan, susu dan lampin pakai buang adalah hasil sumbangan saudara mara dan kenalan.

“Pihak hospital ada bekalkan kira-kira 60 tin susu cukup untuk keperluan dua bulan isteri saya, selepas ini saya perlu beli sendiri, setiap hari sebanyak satu tin susu perlu diberikan kepada isteri saya, ini bermakna untuk susu sahaja saya perlu ada RM1500 sebulan belum termasuk lampin pakai buang sebanyak RM200 sebulan.

“Saya juga perlu menyewa ambulans setiap kali isteri saya ada janji temu dengan doktor di hospital, seperti bulan lepas saya perlu bayar sewa ambulan sebanyak RM400 untuk bawa isteri saya ke HSAH, Sungai Petani, tidak lama lagi ke Hospital Sik dan bulan November ke HSAH semula,” katanya.



Wan berkata, dia juga terpaksa melupakan hasrat untuk membina rumah baharu mereka ketika ini kerana hilang sumber pendapatan selain perlu menjaga anak-anak dan isteri.

“Doktor kata sekiranya isteri saya mampu sedar kembali, dia mungkin akan hilang ingatan dan tidak mengenali kami, bagaimanapun saya serahkan semuanya kepada Allah, saya hanya mampu berdoa,” katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu Muhammad Shazuan, dia boleh dihubungi menerusi nombor telefon 0193523308 atau menerusi akaun nombor BSN (0211541000051668). BH

Ustazah koma selepas jantung terhenti 30 minit ketika bersalin anak ketiga




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ibu dan anak terbabas dalam lubang kabel bawah tanah di Jalan AU3 Setiawangasa [VIDEO]



Enam wanita gedik berjoget tiba-tiba ditelan bumi [VIDEO]

Pelakon ditipu artis veteran tuntut RM8.58 juta

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker