Jimmy Black merusuh sebab mabuk, tiada kaitan gengsterisme

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali menegaskan kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di sebuah restoran di Beaufort, Jumaat lalu, bukan berunsurkan perkauman atau gengsterisme.

Katanya, kes itu tidak membabitkan serangan bersenjata kumpulan kongsi gelap terhadap mangsa tetapi siasatan mendapati serangan dilakukan oleh sekumpulan lelaki tempatan dalam keadaan mabuk.

“Hasil siasatan, jelas pihak perusuh iaitu lima lelaki tempatan semasa kejadian berada dalam keadaan mabuk dan mengakui pergi beramai-ramai ke restoran berkenaan untuk membuat rusuhan dengan memecahkan kerusi dan meja restoran.

“Serangan ini bermula apabila kumpulan lelaki tempatan yang mabuk ini tidak berpuas hati dengan pemilik restoran iaitu suspek utama yang tidak senang dengan kehadiran pembeli arak yang mabuk dan dikatakan menganggu perniagaannya,” katanya.

Hazani berkata, suspek utama kes itu juga dipercayai melarikan diri ke Sarawak untuk menyembunyikan diri.

Katanya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sudah berhubung dengan IPK Sarawak bagi mengesan suspek dikenali sebagai Hobalan N Vello, 37, atau “Jimmy Black” bersama seorang lagi rakannya, Kesavan Perambalam, 34.

“Pemeriksaan dengan pelbagai pihak termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Labuan mendapati tiada sebarang rekod suspek keluar dari negeri ini.

“Berdasarkan siasatan awal juga, suspek bukan lagi Orang Di Bawah Pengawasan Polis seperti didakwa dan kali terakhir dikenakan pengawasan pada 2008.

“Suspek yang berasal dari Semenanjung Malaysia sudah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai lima anak hasil perkahwinan berkenaan.

“Berdasarkan rekod, suspek tidak lagi mempunyai sebarang kes siasatan jenayah sejak 2008 hingga tarikh kejadian,” katanya.

Hazani berkata, dalam mengendalikan kes itu, segala tindakan polis tidak menyebelahi mana-mana pihak malah polis sudah menahan isteri dan rakan suspek dan direman bagi membantu siasatan.

Dalam perkembangan sama, Hazani turut menafikan pihaknya menawarkan ganjaran RM10,000 bagi mereka yang menyalurkan maklumat sehingga berjaya membantu menahan suspek.

Katanya, orang ramai diminta menghentikan mesej di aplikasi WhatsApp dan laman sosial kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan.

“Polis ingin menegaskan sekali lagi, kes ini tidak berkaitan dengan unsur perkauman atau gengsterisme dan semua pihak diminta tidak memainkan sentimen perkauman bagi menjamin keharmonian dan keselamatan masyarakat,” katanya. FMT

Jimmy Black sembunyi di Sarawak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker