Jimmy Black sembunyi di Sarawak

Share

Suspek utama kes rusuhan sehingga menyebabkan kematian di sebuah restoran di Jalan Beaufort Jaya, Jumaat lalu, dipercayai masuk ke Sarawak untuk menyembunyikan diri.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sudah berhubung dengan IPK Sarawak bagi mengesan suspek, Hobalan N Vello, 37, atau ‘Jimmy Black’ bersama rakannya, Kesavan Perambalam, 34.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, polis percaya suspek sudah melarikan diri pada malam kejadian.

Katanya, pemeriksaan dengan pelbagai pihak termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Labuan mendapati tiada sebarang rekod suspek keluar dari negeri ini.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek bukan lagi Orang Dibawah Pengawasan Polis dan kali terakhir dikenakan pengawasan adalah pada 2008.

“Suspek yang berasal dari Semenanjung sudah berkahwin dengan wanita tempatan dan mempunyai lima anak.

“Berdasarkan rekod, suspek tidak mempunyai sebarang kes siasatan jenayah sejak 2008 hingga tarikh kejadian,” katanya pada sidang media di IPK Sabah hari ini.

Hazani berkata, pihaknya dan IPK Sarawak sedang mengesan kedua-dua suspek.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, kes ini bukan membabitkan serangan bersenjata kumpulan kongsi gelap ke atas mangsa dan siasatan mendapati, serangan dilakukan oleh sekumpulan lelaki tempatan dalam keadaan mabuk.

“Hasil siasatan, perusuh yang membabitkan lima lelaki tempatan, semasa kejadian, berada dalam keadaan mabuk dan mengakui pergi beramai-ramai ke restoran berkenaan untuk membuat rusuhan dengan memecahkan kerusi selain meja premis itu.

“Serangan bermula apabila kumpulan lelaki tempatan yang mabuk ini tidak berpuas hati dengan pemilik restoran iaitu suspek utama yang tidak senang dengan kehadiran pembeli arak yang mabuk dan dikatakan mengganggu perniagaannya,” katanya.

Sementara itu, Hazani menafikan pihaknya ada menawarkan ganjaran RM10,000 untuk mereka yang menyalurkan maklumat sehingga suspek tertangkap.

Katanya, orang ramai diminta supaya menghentikan mesej di aplikasi WhatsApp dan laman sosial berkaitan perkara itu kerana dibimbangi boleh mengganggu siasatan polis.

“Kami tegaskan sekali lagi yang kes ini tiada kaitan dengan unsur perkauman atau gengsterisme. Semua pihak diminta tidak memainkan sentimen perkauman bagi menjamin keharmonian masyarakat,” katanya. HM

Penduduk lega akhirnya black panther masuk perangkap

Leave a Reply