Penduduk lega akhirnya black panther masuk perangkap

Seremban: Selepas lebih sebulan memasang perangkap, akhirnya harimau kumbang yang membaham lembu milik penduduk di Kampung Tengah Seri Menanti, Kuala Pilah, dekat sini, berjaya ditangkap, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, binatang buas itu memasuki perangkap pada 9 pagi.

Katanya, pihaknya menerima maklumat daripada penduduk Kampung Tengah Seri Menanti mengenai binatang itu.

“Susulan itu, seramai 10 kakitangan dari Ibu Pejabat Perhilitan dan jabatan ini serta dibantu kakitangan Pusat Penyelamat Hidupan Liar Perhilitan dari Sungkai Perak bergegas ke lokasi berkenaan.

“Harimau kumbang seberat 47 kilogram itu kemudian dibawa ke jabatan ini untuk dinilai tahap kesihatannya oleh doktor haiwan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati tahap kesihatan harimau kumbang berkenaan dalam keadaan baik.

“Harimau kumbang itu kemudian dilepaskan di kawasan habitat asalnya di luar negeri ini malam tadi, namun lokasi sebenar tidak boleh dinyatakan sebagai langkah keselamatan,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, ramai penduduk di sekitar Kampung Tengah Seri Menanti mendakwa melihat kelibat harimau kumbang di sekitar kampung itu menyebabkan mereka bimbang keselamatan masing-masing.

Susulan itu kakitangan Perhilitan memasang perangkap bermula 14 November lalu di lokasi kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir harimau kumbang itu dilihat penduduk.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker