‘Berjuang di belakang tabir’

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mendedahkan beliau sentiasa berusaha keras untuk memperjuangkan bola sepak negara dalam tempoh pandemik COVID-19.

Hamidin yang juga Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagaimanapun mengakui ada segelintir pihak tidak berpuas hati dengan badan induk persatuan bola sepak negara yang dilihat tidak agresif memperjuangkan bola sepak tempatan.

Kemarahan itu timbul dipercayai selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak membenarkan Piala Malaysia berlangsung pada tahun ini sekali gus MFL terpaksa membatalkan kejohanan tertua Asia Tenggara itu.



Namun Hamidin menegaskan beliau sentiasa bersuara kepada pihak tertentu dalam misi memperjuangkan bola sepak negara di belakang tabir.

“Ya saya hanya manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan dalam pandemik COVID-19 dan saya juga faham ada segelintir peminat tidak berpuas hati dengan saya atau FAM atau MFL.

“Ada yang berkata saya langsung tidak bersuara dan kenapa diam sahaja (selepas MKN tidak membenarkan Piala Malaysia). Malah ada yang mempertikaikan kenapa saya baharu bagi kenyataan (memohon pihak kerajaan membenarkan aktiviti bola sepak) baru-baru ini.

“Apapun, saya terima semua kritikan yang membina secara terbuka tetapi ingin saya nyatakan di sini diam tidak bermaksud saya langsung tidak ambil peduli atau suarakan kepada pihak kerajaan terutama golongan yang menjalankan perniagaan futsal atau padang komersial.



“Semua perjalanan berlaku di belakang tabir di mana saya sentiasa konsisten bertemu dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk menyampaikan hasrat FAM kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya. Saya naik turun bertemu penaja untuk menyakinkan mereka supaya terus menaja dan membantu bola sepak Malaysia.

“Mungkin saya bukan ‘hero’ (wira) tetapi saya tidak pernah melepaskan tangan dan tanggungjawab saya sebagai Presiden FAM dan MFL kerana jiwa raga saya adalah bola sepak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hamidin menegaskan beliau menjadi sosok pertama yang paling sedih melihat perkembangan bola sepak Malaysia sebagaimana banyak kejohanan terpaksa dibatalkan disebabkan pandemik COVID-19.



Jelasnya, pandemik COVID-19 adalah cabaran paling sukar dalam karier dirinya selepas berkecimpung dunia bola sepak tempatan sejak 30 tahun lalu.

Katanya lagi, ini adalah luahan pertama kali berkenaan isi hatinya berkenaan bola sepak negara di mana beliau tidak pernah lakukannya dalam mana-mana sesi temuramah lain.

“Saya sudah melibatkan diri dengan bola sepak lebih 30 tahun tetapi tahun ini paling sukar disebabkan COVID-19.

“Sebagai orang nombor satu bola sepak Malaysia, hanya Allah SWT tahu apa yang bergolak dalam jiwa raga saya setiap saat, minit dan jam sepanjang enam bulan ini.



“Saya memikirkan semua aspek bukan sahaja daripada sudut FAM tetapi semua yang terbabit dalam industri bola sepak tempatan merasai keperitan ini.

“Malah saya sendiri pernah merasai dari bawah ke atas sebelum memegang jawatan Presiden FAM. Berat di luar, berat lagi di dalam hati saya.

“Setiap hari saya berdoa supaya kita kembali normal kerana bola sepak adalah sukan nombor satu negara dan menjadi tempat penyatuan kaum terbaik.

“Mungkin orang nampak saya selalu tersenyum tetapi yang tahu apa yang bergolak dalam isi hati saya dan hanya orang tertentu sahaja mengetahuinya,” katanya.



Sementara itu, Hamidin menegaskan beliau tidak akan berputus asa untuk memperjuangkan bola sepak negara.

Bagaimanapun beliau sedar perjuangan ini perlu mendapat pertolongan daripada semua pihak dalam memastikan bola sepak pada tahun 2021 menjadi lebih positif.

“Saya tidak akan berputus asa dan akan memastikan bola sepak Malaysia akan terus subur hidup serta relevan. Saya berharap tahun 2021 akan berubah landskap menjadi lebih baik kepada industri bola sepak negara.

“Namun bola sepak tidak akan berjaya jika kita semua tidak berganding bahu dan saya berharap semua pihak dapat tampil bersama-sama membantu bola sepak negara,” katanya.



Mengulas lanjut, Hamidin berkata: “Apabila CIMB membuat keputusan tarik diri dari meneruskan tajaan dan TM mengurangkan jumlah tajaan, itu satu masa amat sedih bagi saya, dan juga kalangan warga bolasepak semua.

“Saya masa itu bertanya pada diri sendiri, apa seterusnya dan apatah lagi MFL yang menguruskan Liga M memerlukan sumber kewangan yang besar. Saya mengambil masa beberapa hari untuk hadap pembatalan tajaan CIMB.

“Tapi pada suatu pagi, datang satu semangat bagi saya mengatakan ini bukan titik tamat segalanya, sebaliknya ini satu cabaran bagi saya sebagai presiden FAM dan juga sebagai presiden MFL untuk fokus terhadap apa langkah kami seterusnya.

“Saya harus bergerak dari berita ini dan buka langkah baru. Saya tak boleh diam. Saya harus usahakan tajaan baru walaupun dalam masa yang amat perit ini waktu COVID-19 ini. Yang pasti kita mesti capai visi kita untuk mendapat tajaan baru.

Bila di tanya mengenai khabar angin bahawa Berjaya dan Maybank akan menjadi penaja baru untuk musim baru, Hamidin berkata :”Buat ketika ini, tidak ada apa apa kepastian. Tidak kira apa jua syarikat atau organisasi, selain kalau dah tandantangan kontrak penajaan, barulah itu kepastian,”.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker