Padah maki polis, lelaki kena reman 3 hari

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditahan reman tiga hari kerana mengeluarkan kata kesat terhadap anggota polis selepas disaman kerana melakukan kesalahan jalan raya, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan Jumaat lalu selepas hadir ke Balai Polis Setia Indah bagi membuat laporan polis kejadian berkenaan.

Insiden memaki polis berlaku ketika operasi Operasi Lampu Merah dan nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi di Jalan Mutiara Emas Putih, di sini, jam 11 malam, Khamis lalu.



“Ketika operasi dijalankan, anggota polis trafik menahan kereta Proton Wira kerana mendapati nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi selain melakukan ubahsuai pada ekzos. Polis trafik kemudian mengeluarkan dua saman atas kesalahan berkenaan.

“Pemilik kereta itu tidak berpuas hati kerana disaman lalu merakam video anggota polis trafik terbabit yang sedang menjalankan tugas.

“Ketika hendak beredar, pemilik kereta itu sempat mengeluarkan kata-kata kesat dengan nada yang kuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Padzli berkata, anggota polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) kemudiannya membuat laporan polis.



Katanya, kelmarin pemilik kenderaan itu hadir ke Balai Polis Setia Indah untuk membuat laporan polis sebelum dia ditahan untuk siasatan.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati, suspek mempunyai rekod jenayah membabitkan kes dadah. Saringan air kencing dilakukan terhadap suspek dan keputusannya adalah negatif.

“Suspek ditahan reman selama tiga hari mulai semalam hingga esok dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker