Ogy, Erma bergaduh lagi? Apa kes…?

KUALA LUMPUR: Persengketaan dua bintang, Fauziah Ahmad Daud dan Erma Fatima pernah mencetuskan kontroversi, malah kisah hangat diva popular itu pernah dipaparkan menerusi telefilem berjudul Pengantin Popular yang disiarkan menerusi slot Cerekarama di TV3 pada 1994.

Telefilem Pengantin Popular secara jelas menunjukkan realiti di sebalik persengketaan dua pelakon hebat itu. Umumnya, mengetahui ‘perang dingin’ antara mereka bukan kisah dongeng, sebaliknya benar-benar berlaku.

Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy membawa watak pelakon senior bernama Gee, manakala Erma memegang watak Erna digambarkan sebagai pelakon baharu yang mula mendapat perhatian. Gee dilihat tercabar dengan kehadiran Erna.

Menerusi telefilem itu, terma ‘over acting’ dan ‘stereotype’ menjadi fenomena. Erna menyifatkan lakonan Gee ‘over acting’, manakala Gee pula melihat lakonan Erna sangat ‘stereotype’

Bagaimanapun, hubungan Ogy dan Erma kembali jernih pada 2015. Erma mengundang Ogy untuk menjayakan pementasan teater, Mok Cun di Istana Budaya.

Selepas 26 tahun berlalu, Ogy dan Erma kembali bersatu dalam drama bersiri, Diva Popular terbitan Rumah Karya Citra. Drama bersiri 21 episod akan bersiaran di kaca Awesome TV.

Untuk versi baru, Erma mengesahkan menerbitkan drama bersiri, Diva Popular.

 

Fauziah Ahmad Daud bergandingan dengan Tiz Zaqyah sebagai ibu dan anak.
Fauziah Ahmad Daud bergandingan dengan Tiz Zaqyah sebagai ibu dan anak.

 

“Akhirnya, Erma dan Ogy bersatu kembali. Saya mahu mengekalkan pengarah, Rashid Sibir yang sebelum ini mengarahkan telefilem Pengantin Popular memikul tanggungjawab ini.

“Awalnya, saya hanya mencuba nasib menghantar kertas cadangan drama ini kepada Awesome TV. Tak sangka, mereka berminat, jadi saya teruskan.

“Bagaimanapun, drama Diva Popular ini tidak sama seperti telefilem Pengantin Popular. Ia lebih kepada kisah yang tercetus pada anak kami. Saya memegang watak Datuk Rona Di Alfonso Di Al Bukhari, manakala Ogy pula Lola Kartika,” katanya kepada BH Online.

Erma berkata, watak anak pula dipikul oleh Nabila Huda dan Tiz Zaqyah.

“Nabila menjadi anak saya menerusi watak Erma Erika. Tiz pula anak Lola dengan watak Ika Natelia.

“Watak anak mereka mewakili artis zaman sekarang. Erma Erika digambarkan pelakon kayu yang tidak berbakat dan masa sama bergelar Youtuber dengan suara ke laut.

“Bagaimanapun, Erma Erika mempunyai ramai pengikut di Instagram. Ika Natelia pula pernah merangkul anugerah berpaksikan popular dan mahu menjadi pelakon terbaik.

“Malangnya, Ika Natelia jenis tak berdisiplin dan dalam masa sama hanyut bercinta dengan Shazwan lakonan Ben Amir,” katanya.

 

Nabila Huda hanyut bercinta dengan Ben Amir dalam drama Diva Popular.
Nabila Huda hanyut bercinta dengan Ben Amir dalam drama Diva Popular.

 

Erma berkata, plot jalan cerita menjadi lebih ‘malapetaka’ apabila Lola dan Datuk Rona masuk campur dengan kekecohan melanda anak mereka.

“Dalam drama ini, banyak kekecohan yang dicetuskan Erma Erika dan Ika Natelia.

“Dijadikan cerita, pelakon yang menggantikan Ika Natelia dalam drama ialah Erma Erika. Jadi, apabila Lola dapat tahu bertambah panas hubungannya dengan Datuk Rona,” katanya

Ketika ini, penggambaran drama Diva Popular sedang rancak dijalankan. Turut membintanginya ialah bintang Youtuber dan Instafamous seperti Ucop dan Irfan.

Sementara itu, Tiz berkata, dia teruja membintangi drama ini.

“Rasa ‘wow’ apabila dapat menjadi anak primadona Fauziah Ahmad Daud. Beliau banyak memberi tenaga positif ketika berlakon.

“Banyak ilmu yang ditimba menerusi pengalamannya. Ia termasuk bagaimana melihat graf lakonan. Saya bersyukur mendapat menyerap ilmu yang tidak diketahui,” katanya.

Leave a Reply