Anak Sulung Pula ‘Pergi’ Selepas 32 Hari Dilanggar Lari

Jertih: Dugaan berat menimpa pasangan guru yang pernah kehilangan anak bongsu akibat kecuaian hospital tujuh tahun lalu, apabila anak sulung pula meninggal dunia dalam kejadian kes langgar lari, baru-baru ini.

Ibu kepada tiga anak, Fadilah Abd Wahab, 50, berkata, anak lelakinya, Ahmad Faiq Shauqi, 19, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu pada 1 Disember lalu selepas 32 hari bertarung nyawa.

Beliau mendakwa motosikal Yamaha Lagenda ditunggang anaknya bertembung dengan kereta Perodua Myvi dinaiki seorang penjawat awam di persimpangan berhampiran Perpustakaan Desa Kampung Amir, di sini, pada 8.30 malam, 30 Oktober lalu.

“Ahmad Faiq Shauqi yang parah di bahagian kepala dan cedera beberapa anggota badan dibiarkan di tepi jalan sebelum dikejarkan ke hospital oleh penduduk kampung yang menemuinya lebih sejam kemudian.

“Anak saya koma selama 32 hari di Unit Rawatan Rapi HSNZ sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 8.15 malam, 1 Disember lalu,” dakwanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Amir, di sini, hari ini.

Fadilah berkata, kematian Ahmad Faiq Shauqi yang menjadi harapan keluarga dan sikap individu melanggar anaknya memberi kesan trauma teruk kepada dirinya, suami, Muhamad Sardi Saad, 44, dan anak perempuannya, Batrisyia Umairah, 15.

“Apa yang saya kesal, arwah dilanggar individu dikenali yang sanggup membiarkan sahaja dia menanggung kesakitan di tepi jalan, malah seperti bersikap acuh tidak acuh terhadap kejadian itu.

“Dia hanya berjumpa kami sekali di hospital sehari selepas kejadian untuk mengaku perbuatannya, tetapi tidak pernah mengambil inisiatif lain untuk meminta maaf walaupun mengetahui kematian anak saya pada awal bulan ini,” katanya.

Beliau berkata, Ahmad Faiq Shauqi adalah pelajar Institut al-Quran Terengganu, Kuala Terengganu mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Madinah namun terpaksa ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

“Anak bongsu saya, Ulya Insyirah sebelum ini meninggal dunia akibat kecuaian Hospital Besut pada 2013 dan kematiannya baru mendapat pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada dua tahun lalu.

“Kini kami diuji lagi dengan kehilangan anak sulung pula. Setiap hari sejak kematiannya, saya tersedar pada 4 pagi untuk mengejutkannya seolah-olah dia masih ada sebelum menangis teringatkannya,” katanya.

Fadilah berharap kes kematian Ahmad Faiq Shauqi yang masih dalam siasatan polis mendapat pembelaan sewajarnya.

Harian Metro pada 15 Mei 2018 melaporkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengarahkan defendan yang terdiri daripada 10 doktor, dua pengarah Hospital Besut dan HSNZ serta Kerajaan Malaysia membayar tuntutan ganti rugi am sebanyak RM600,000, ganti rugi teladan RM200,000 dan ganti rugi khas RM96,792.13 kepada Fadilah dan Muhamad Sardi akibat kecuaian menyebabkan kematian Ulya Insyirah yang ketika itu berusia empat tahun.-HM

Al-Fatihah : ‘Saat Terakhir Mak Peluknya’ – Meninggal Dalam Pelukan Ibu, Ciuman & Tangisan Wanita Ini Undang Sebak [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker