Pegawai Imigresen meraung selepas mengaku salah terima suapan RM12,000

Seorang pegawai Jabatan Imigeresen Malaysia (JIM) meraung selepas dijatuhkan hukuman penjara selama 30 hari selepas mengaku bersalah menerima RM12,000 pada 2 Disember lalu.

Zalizi Ismail, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Rozilah Salleh kerana menerima suapan sebagai dorongan mempercepatkan proses dua tahanan JIM warganegara China untuk pulang ke negara asal.

Ketika melakukan kesalahan itu, beliau merupakan Penolong Pegawai Penyiasat di Bahagian Operasi JIM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menerima kes dua warga China tersebut.

Zalizi didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 17(a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan turut didakwa atas pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Ketika membuat pengakuan, Zalizi berkata, beliau insaf dengan perbuatannya dan memohon mahkamah meringankan hukuman.

“Saya berjanji tidak akan buat lagi kesalahan ini. Saya mohon denda dan hukuman saya diringankann, saya ada anak masa kecil berusia lebih setahun, isteri saya tidak bekerja,” katanya kepada mahkamah hari ini.

Selain menetapkan hukuman penjara 30 hari, hakim turut mengarahkan tertuduh membayar denda RM20,000, sekiranya gagal boleh dipenjara selama empat bulan.

Selesai mendengar hukuman dan proses pertuduhannya, lelaki berkenaan meraung sambil dipeluk abang dan kakak yang menemaninya.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Rozilah Salleh berkata, rasuah merupakan kesalahan serius yang perlu dielakkan.

Walau bagaimanapun, beliau mengucapkan terima kasih kepada Zalizi kerana berani mengaku kesilapannya pada hari ini dan menginsafi kesalahannya.

“Saya percaya bila kamu mengaku salah, kamu sudah fikir masak-masak. Kamu tahu selepas pengakuan kamu ini, kamu akan diberhentikan kerja.

“Memang susah hendak mengaku salah, saya doakan hukuman kamu di dunia hari ini cukup sebagai kifarah kamu di akhirat kelak,” katanya kepada lelaki berkenaan. MG

SPRM tahan timbalan pengarah imigresen terbabit sindiket

Leave a Reply