Akta Anti Lompat Parti perlu digubal bagi atasi ‘pandemik politik’ – Akhbar Satar



Akta Anti Lompat Parti perlu digubal bagi mengekang amalan lompat parti oleh sesetengah Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus mampu mengatasi ‘pandemik politik’ negara.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata isu lompat parti tidak boleh terus dipinggir kerana selain menjejaskan kestabilan kerajaan, ia juga menandakan wujudnya unsur rasuah.

“Kadang-kala, apabila mereka melompat parti, ia boleh menyebabkan sesebuah kerajaan itu runtuh, ataupun kerana mereka dibayar.
“Berdasarkan Global Corruption Barometer 2020 oleh Transparency International, antara institusi yang dilihat paling terlibat dalam gejala rasuah ialah Ahli Parlimen.

“Jika ahli politik merupakan institusi yang dipandang serong dan tidak mempunyai standard, beginilah keadaan negara kita dan generasi masa depan kita,” kata Akhbar dalam temu bual bersama Buletin AWANI sempena Hari Anti-Rasuah Sedunia hari ini.

Dalam perkembangan yang berkaitan, beliau berkata undang-undang mengenai dana politik bagi mengurangkan risiko rasuah dalam kalangan ahli politik yang sudah lama dibincangkan perlu diwujudkan dengan segera.




“Akta Dana Politik ialah satu akta yang begitu baik untuk mencegah ahli politik daripada menyalahgunakan kuasa dari segi politik untuk mendapat pembiayaan wang tanpa kawalan.

“Kami dapati kebanyakan dana yang diberikan mana-mana pihak itu dimasukkan dalam akaun persendirian. Itu amalan yang tidak bagus.
“Ia merupakan amalan yang tidak baik kerana melakukan pecah amanah. Sekiranya ada Akta Dana Politik, ia akan lebih baik,” katanya. Awani

Keperluan mewujudkan semula akta anti berita tidak benar



Leave a Reply

Your email address will not be published.