Isu MARA Corp: Ujian keikhlasan PN memperjuangkan ekonomi Melayu

SUDAH beberapa hari krisis terkini di MARA Corporation dilapor, bukanlah sesensasi kejatuhan MB PN Perak, namun pasti tidak membantu keadaan bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN). Dilaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) baru MARA Corp, Datuk Badlisyah Abdul Ghani, seorang CEO Melayu teruji dan bertahap antarabangsa selain Anak Sains MARA Taiping, digantung jawatannya walaupun baru berkhidmat sekitar 3 bulan.

Kini berita yang beliau sudah digantikan, melalui surat Menteri, oleh Datuk Suhaili Abdul Rahman, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, yang tiada latar-belakang memajukan syarikat konglomerat sebesar MARA Corp, bernilai sekitar RM400+ Juta, disahkan ‘Pengarah Eksekutif’ baru itu sendiri. Malangnya, Datuk Suhaili pada masa ini tiada hak sama sekali membahasakan dirinya demikian kerana kedudukannya sebagai Pengarah Eksekutif MARA Corp masih belum sah!

MARA Corp tertakluk kepada Akta Syarikat 2016, makanya, apa-apa perubahan jawatan di peringkat tertinggi haruslah disahkan oleh Lembaga Pengarah dan Majlis MARA, walaupun jika ia dilaksanakan menurut kuasa-kuasa Menteri yang termaktub di bawah Seksyen 5, Akta MARA. Oleh itu, kalaupun benar lantikan Datuk Suhaili sudah dipersetujui Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, beliau tiada hak bertindak sebagai Pengarah Eksekutif MARA Corp, walau memberi kenyataan akhbar sebagai penjawat jawatan tersebut sekalipun, sehinggalah lantikannya disahkan. Adalah difahamkan juga yang Lembaga Pengarah MARA Corp dan Majlis MARA kedua-duanya belum bersidang untuk mengesahkan status kepimpinan MARA Corp!

Ini bukan perkara remeh, kerana Menteri pun wajib mengikut undang-undang, apatah lagi Ahli Lembaga Pengarah lantikannya seperti Datuk Suhaili. Jika kerajaan PN ikhlas dalam niatnya memperkasakan ekonomi Bumiputra, undang-undang wajib dihormati selain amalan urus-tadbir yang baik, terutama bagi mengelakkan dari peristiwa penyelewengan dana pembangunan Bumiputra, sepertimana pernah melibatkan anak-anak syarikat MARA dahulu, berulang semula! Tambah lagi dengan kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID19, peranan MARA Corp sebagai sayap komersial MARA menjadi kritikal.

Berbalik kepada isu penggantungan jawatan Datuk Badlisyah, sementara siasatan dilaksanakan atas tuduhan-tuduhan ke atasnya, ia hanyalah bersifat sementara. Jika Datuk Badlisyah didapati tidak bersalah, maka beliau wajar kembali ke jawatan CEO MARA Corp. Siasatan dalaman biasanya tidak perlu masa terlalu lama. Makanya, kenapakah Datuk Suhaili secara tergesa-gesa membahasakan dirinya sebagai Pengarah Eksekutif baru? Wajarkah beliau dilantik memandangkan kedudukan Datuk Badlisyah pun belum muktamad? Ia bukan sekadar melucukan, malah memalukan bagi semua pihak terbabit termasuklah pihak Menteri jika, tak sempat panas kerusi Datuk Suhaili di pejabat Pengarah Eksekutif, beliau terpaksa pergi dengan kembalinya Datuk Badlisyah bertugas!

Selain itu, perlu juga dipersoalkan, sama ada Datuk Suhaili sendiri di antara mereka yang menuduh Datuk Badlisyah bersalah? Jika benar demikian, ia menimbulkan persoalan juga dari segi integriti dan motif Datuk Suhaili kerana beliau seolah-olah mendapat manfaat dari penuduhan ke atas Datuk Badlisyah. Persoalan ini juga bukan remeh sebab ia menimbulkan tanda-tanya terhadap integriti Datuk Suhaili, yang lebih dikenali sebagai seorang ahli politik, selain mempunyai rekod pengurusan perniagaan yang penuh tanda-tanya sekaligus persepsi kurang menyenangkan sebelum ini. Malah, mampukah Datuk Suhaili menggalas tugas membangunkan MARA Corp yang bakal menerima lebih banyak aset syarikat MARA ke peringkat beribu-juta ringgit?

Kalau dibandingkan antara CV Datuk Badlisyah, malangnya, ternyata Datuk Suhaili tidak setanding tokoh koprat yang 12 tahun lebih muda darinya. Lebih buruk lagi, ia menimbulkan persoalan keikhlasan kerajaan PN juga, jika yang dipilih menerajui sayap komersial agensi keramat MARA, seorang yang jelas tidak mampu melaksanakan agenda menperkasakan ekonomi Bumiputera. Datuk Badlisyah jelas layak. Jikalah beliau diputuskan tidak lagi layak, pasti ada tokoh korporat Melayu lain yang layak menerajui pengurusan MARA Corp, cuma berdasarkan keupayaan serta tindak-tanduknya yang meragukan, ia bukanlah Datuk Suhaili atau yang sepertinya.

Melaratnya isu MARA Corp ini sudah pun mensesiakan usaha memajukan ekonomi Melayu. Sebelum perlantikan Datuk Badlisyah, MARA Corp ketiadaan GCEO selama lebih setahun. Pada mulanya ia kerana Majlis MARA Pakatan Harapan (PH) ingin menutupnya, tetapi kemudian tergendala berbulan lagi di bawah Majlis MARA lantikan PN. Hampir semua lantikan politik Majlis MARA ditukar kecuali Datuk Jamelah Jamaluddin, kini Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan MARA. Hampir semua kakitangan MARA Corp telah meninggalkan jawatan mereka menjelang perlantikan Datuk Badlisyah. Kejayaan beliau membina semula pasukan eksekutif MARA Corp dalam masa yang singkat seharusnya dipuji, tetapi sebaliknya, ia menjadi modal mempertikaikan kebolehannya! Namun yang rugi akhirnya masyarakat Melayu juga bila masa dan usaha sekali lagi disesiakan!

Agenda memperkasakan ekonomi Bumiputra bukanlah monopoli mana-mana pihak, tetapi masyarakat Melayu dan Bumiputera akan sentiasa mengamati dengan penuh emosi segala tindak-tanduk kepimpinan politik Melayu khususnya untuk menilai keikhlasan usaha tersebut. Masyarakat Melayu sendiri dah mual malah ada di kalangan yang muda, jijik dengan retorik perjuangan ekonomi Melayu. Mereka jijik melihat pemimpin politik Melayu merebut harta, jawatan, peluang dan ruang untuk diri mereka sendiri, kroni serta keluarga sementara melaung-laung retorik perjuangan ekonomi Melayu. Adakah ini yang kini sedang berlaku di MARA Corp? Masyarakat Melayu menilai, jangan sampai kita menghukum…Awani

CEO Kumpulan MARACorp digantung tugas?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker