PH bakal kecewa lagi di Perak – Dr Mohd Zuhdi

Dua minggu kebelakangan ini gawang gol PH telah tembus tidak kurang dari tujuh kali. Bermula daripada kegagalan mereka mencapai kata sepakat menolak Bajet 2021 di peringkat dasar sehinggalah beberapa kali mereka gagal dalam undi belah bahagian ketika Bajet 2021 diluluskan di peringkat jawatankuasa. Dalam setiap episod jaringan gol itu, menunjukkan persefahaman PAS, UMNO, BERSATU dan lain-lain parti komponen dalam PN dan BN adalah padu.

Kesemua undian di parlimen tersebut dan yang terakhir undian meluluskan Bajet 2021 di Dewan Undangan Negeri Johor, menunjukkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri yang dibentuk oleh PAS, UMNO, BERSATU dan lain-lain parti komponen adalah sah dan utuh. Dengan pengertian lain, persepsi yang dibentuk oleh PH bahawa Tan Sri Muhyiddin Yasin dan lain-lain MB atau KM yang mengetuai Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri sudah hilang majoriti adalah tersasar.

Tiba-tiba berlaku kes Usul Undi Percaya di Dewan Undangan Negeri Perak yang membawa keputusan MB Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu, tidak mendapat kepercayaan sebahagian besar ADUN-ADUN UMNO. Maka dengan segera PH menyangka bahawa ikatan PAS, UMNO, BERSATU dan lain-lain parti komponen sudah terlerai, lantaran itu mereka dengan cepat cuba menangguh di air keruh. PH sanggup untuk bekerjasama dengan UMNO yang ditohmah serata negara dahulu sebagai kleptokrasi.

Sebenarnya pimpinan-pimpinan UMNO sudahpun memaklumkan kepada pimpinan-pimpinan parti rakan yang lain, bahawa usaha yang mereka lakukan adalah untuk menukar MB bukannya menumbangkan kerajaan Perak. Saya sendiri sudah diyakinkan oleh rakan-rakan pimpinan UMNO bahawa langkah yang mereka ambil adalah untuk menukarkan MB disebabkan alasan-alasan tertentu, sedangkan Kerajaan Perak di bawah dukungan PAS, UMNO, BERSATU dan bebas adalah kekal.

Bekas MB Perak, Ahmad Faizal, sendiri telah memberi komitmen bahawa beliau akan memastikan peralihan kuasa akan berlaku dengan lancar. Berikutan dengan itu, Setiausaha Agung PAS, Dato Takiyuddin Hassan, telah mengeluarkan kenyataan bahawa *PAS tidak akan menyertai pembentukan KERAJAAN BAHARU* , iaitu kerajaan yang selain daripada kerajaan sedia ada dukungan PAS, UMNO, BERSATU dan bebas sebelum ini. PH telah memahami secara salah kenyataan Takiyuddin sehingga dilihat peluang menangguk di air keruh.

Saya begitu yakin Kerajaan Perak sedia ada yang didukung oleh PAS, UMNO, BERSATU dan bebas akan terus kekal sehingga PRU ke-15. Apa yang berlaku ini adalah pertukaran MB sepertimana peralihan PM daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi tahun 2003 yang lalu. Yang beralih ketika itu adalah jawatan PM, manakala kerajaan yang diterajui oleh BN tetap kekal. Malah PAS, UMNO dan BERSATU tetap mendukung agenda penyatuan ummah yang sebenarnya sukar digugat oleh PH.

Dr Mohd Zuhdi Marsuki
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker