WhatsApp Tak Berbalas, Rupa-Rupanya Suami Maut Kemalangan

Pekan: Kebimbangan isteri Mohd Zuhairi Abdullah, Nor Hayari Embong selepas pesanan WhatsApp dihantar tidak berbalas terungkai, selepas menerima panggilan telefon memaklumkan suaminya maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh lori tangki di Kilometer 32, Jalan Pekan-Rompin berhampiran Tanjung Batu di sini, hari ini.

Nor Hayati, 35, yang merupakan suri rumah berkata, dia menghantar pesanan itu pada 10 pagi bagi memaklumkan perihal anak-anak yang menjadi rutin harian mereka berdua ketika suaminya keluar bekerja.

“Saya menganggap suami tidak membalas kerana sedang memandu, memandangkan dia beritahu akan ke Tanjung Batu ketika keluar rumah pada 7 pagi. Sekitar 11 pagi, adik ipar telefon memberitahu suami meninggal kemalangan.



“Saya tidak percaya dan cuba menghubungi telefonnya namun langsung tidak berdering. Tak lama kemudian, seorang lagi kawan suami menyampaikan berita sedih itu, untuk kali kedua,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pekan di sini.

Nor Hayati berkata, suaminya sudah 10 tahun bertugas di Pekan selepas berpindah dari Pejabat Kesihatan Daerah Cameron Highlands pada 2010 dan mereka mempunyai empat orang anak berusia antara dua hingga sembilan tahun.

Mohd Zuhairi juga menurut Nor Hayati, ada menyuarakan hasrat untuk pulang ke kampung sebelah isterinya itu di Terengganu, kerana sudah lama mereka tidak berjumpa dengan ahli keluarganya sejak negeri itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 9 November lalu.

Nor Hayati berkata, jenazah suaminya akan dikebumikan berhampiran kubur ayah arwah di Kampung Sungai Puteri, Rompin kira-kira 80 kilometer dari sini.



Mohd Zuhairi, 35, maut selepas kenderaan Toyota Hilux yang dipandunya dirempuh lori tangki yang terbabas dari laluan bertentangan pada 10.20 pagi hari ini, menyebabkan kenderaan milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu, remuk keseluruhan pada bahagian hadapan.

Turut maut ialah jururawat Julayha Kudus, 39, manakala Dr Muhd Ikhwan Ramlee, 29, parah di kepala.

Mereka yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, dilaporkan dalam perjalanan ke perkampungan Orang Asli Api Larat di Nenasi, Pekan untuk melakukan pemeriksaan kesihatan di sana.

Sementara itu, suami Julayha, Asmawi Yusoff, 45, berkata, dia sempat melihat jenazah isterinya terbaring di bahu jalan, selepas dihantar rakannya ke lokasi kejadian sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh suami kepada rakan isterinya itu.



Dia yang merupakan tenaga pengajar di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, turut mengikut kenderaan yang membawa jenazah ke Hospital Pekan sebelum pulang ke rumah, untuk memberitahu berita sedih itu kepada empat anak mereka yang berusia antara lima hingga 14 tahun.

“Saya mengambil masa agak lama di rumah untuk menenangkan anak-anak, sebelum kembali ke hospital bagi menguruskan jenazah. Saya tidak menyangka pagi tadi adalah kali terakhir isteri bersalam dan mencium tangan saya, yang menjadi rutin arwah sebelum keluar bekerja,” katanya.

Asmawi berkata, jenazah isterinya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Jambu di sini, selepas keluarga isterinya dari Palong, Negeri Sembilan memberi kebenaran bagi memudahkan mereka untuk menziarah.-HM

Al-Fatihah..Kenderaan KKM Kemalangan, Jururawat & Pemandu Maut



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker