Menteri Indonesia Diberkas Kerana Rasuah

JAKARTA – Menteri Sosial Indonesia ditangkap hari ini kerana didakwa menerima rasuah berjumlah AS$1.2 juta (RM4.87 juta) berkait bantuan makanan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik koronavirus.

Kapsyen: Gambar pada 23 September lalu menunjukkan Juliari Batubara menyampaikan laporan di Parlimen di Jakarta, Indonesia. – AFP

 

Juliari Batubara dinamakan sebagai suspek selepas agensi antirasuah Indonesia merampas sejumlah bagasi, beg galas dan sampul surat  berisi wang menyamai AS$1.2 juta dalam satu serbuan semalam.

Menteri memegang portfolio hal ehwal masyarakat itu menyerah diri di ibu pejabat agensi antirasuah hari ini sekali gus  menjadi menteri kedua di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang diberkas atas dakwaan rasuah dalam tempoh beberapa minggu.

“Itu duit rakyat… itu bantuan yang diperlukan segera untuk membantu (rakyat) ketika pandemik Covid-19 dan membantu ekonomi negara pulih,” kata Jokowi selepas penahanan Juliari sambil berjanji,  beliau tidak akan melindungi mana-mana pegawai korup.

Ekonomi Indonesia teruk terjejas disebabkan pandemik koronavirus dan pemerintah memperkenalkan beberapa program bantuan termasuk bungkusan makanan untuk membantu mereka yang memerlukan.

Juliari dituduh terlibat dalam skim rasuah berkait salah satu projek bantuan berkenaan.

Beberapa pegawai mendakwa,  suspek menerima suapan lebih AS$1 juta (RM4.06 juta) daripada dua kontraktor yang dilantik untuk membekalkan bungkusan makanan asas kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik.

Bagi setiap bungkusan, Juliari akan menerima 10,000 rupiah atau AS$0.71 (RM2.88), kata mereka.

Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda 1 bilion rupiah (RM288,171). – AFP

Suspek utama Macau Scam lompat pagar SPRM ditangkap

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker