Ahli perniagaan diculik, penculik minta RM2 juta
Pengarah syarikat pelaburan berdepan detik cemas apabila diculik sekumpulan lelaki sebelum dikurung di inap desa di Jitra, Kedah pada 30 November lalu.
Kumpulan berkenaan turut meminta wang tebusan sebanyak RM2 juta untuk membebaskannya.
Sumber berkata, mangsa yang berusia 52 tahun itu diculik sebelum di kurung di sebuah inap desa yang disewa kumpulan terbabit.
“Dalang penculikan terbabit dipercayai seorang anggota keselamatan yang mengarahkan kumpulan itu menculik lelaki berkenaan kerana tidak berpuas hati selepas gagal mendapatkan semula wang pelaburannya.
“Mangsa dikatakan sudah membayar RM270,000 wang tebusan berkenaan, namun dua hari kemudian dia berjaya melarikan diri dari rumah terbabit,” katanya.
Menurutnya, anak mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.
“Susulan itu, beberapa siri serbuan dijalankan sebelum pihak polis menahan enam suspek pada 2 dan 3 Disember lalu.
“Polis kini sedang memburu seorang lagi suspek yang dipercayai menjadi dalang kejadian penculikan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi berkata, semua suspek yang ditahan sudah dipohon permohonan reman.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan,” katanya. HM
Ahli perniagaan diculik, dibunuh dan mayat ditemui dalam belukar