Rezeki Hafiy tidak pernah putus

Kota Bharu: “Terima rakyat Malaysia dan Harian Metro kerana prihatin. Sumbangan ini dapat digunakan untuk rawatan anak saya,” Mohd Hasiif Mohd Hasbi, 27, bapa bayi berusia sembilan bulan, Muhammad Hafiy Affan, yang mengidap sindrom Pfeiffer sejak lahir.

Dia turut amat berterima kasih kepada semua pihak termasuk individu persendirian dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menghulurkan sumbangan untuk meringankan beban mereka.

Mohd Hasiif berkata, mereka sekeluarga bersyukur kerana banyak pihak tampil menyalurkan bantuan dan mendoakan mereka selepas kisah penderitaan anak tunggalnya, Muhammad Hafiy Affan disiarkan dalam akhbar.

“Rezeki anak syurga kami tidak pernah putus. Pada pertengahan November lalu, saya menerima panggilan daripada kakitangan Media Prima Berhad (MPB) yang memaklumkan Hafiy mendapat Bantuan Metro Prihatin dan sumbangan RM5,000 akan disalurkan bagi menampung kos perbelanjaan rawatannya.



“Terima kasih Harian Metro atas sumbangan yang diberikan, Alhamdulillah ia sudah lebih dari cukup untuk keperluan rawatan anak saya,” katanya.

Katanya, setiap bulan, dia perlu memperuntukkan RM1,500 sebulan untuk membeli keperluan Hafiy termasuk susu dan lampin pakai buang selain kos berulang alik untuk menghadiri temujanji di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Petaling Jaya.

Menurutnya, dia yang bekerja kampung dengan pendapatan RM500 sebulan tidak mampu menampung kos bulanan Hafiy yang mencecah ribuan ringgit setiap bulan, menyebabkan isteri, Nor Akma Aini Azmee, 24, yang sebelum ini mengambil upah menjahit berusaha menambah pendapatan dengan menjual makanan ringan.

“Bagaimanapun, beban yang ditanggung sedikit ringan apabila bantuan bulanan sebanyak RM350 sudah diluluskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bulan ini,” katanya.



Mohd Hasiif berkata, anak tunggal mungkin akan menjalani beberapa pembedahan lagi termasuk di bahagian kepala dan telinga dalam masa terdekat, namun ia masih di peringkat perbincangan.

“Sebelum ini, doktor memaklumkan kedua-dua belah telinga Hafiy akan dipasang alat pendengaran khas kerana dia tidak mempunyai lubang telinga.

“Besar kemungkinan, ketika usia Hafiy mencecah setahun, dia akan menjalani pembedahan untuk memasang kerangka besi di bahagian kepala bagi membetulkan semula tengkorak kepalanya, namun bergantung kepada berat badan Hafiy bagi mengelakkan risiko,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, penyakit yang dideritai Muhammad Hafiy Affan yang juga dikategorikan orang kurang upaya (OKU) kelewatan pembangunan global atau Global Developmental Delay (GDD) menyebabkan dia mengalami kecacatan pada muka dan bentuk tengkorak sehingga doktor terpaksa menjahit sebahagian kelopak mata kiri serta kanannya daripada tersembur keluar.



Lebih menyedihkan, dia juga mengalami kesukaran untuk bernafas kerana saluran pernafasannya terlalu sempit selain kaki dan tangannya tidak boleh membengkok.

Ketika berusia lima bulan, Muhammad Hafiy Affan sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan untuk memasukkan tiub yang dipasang di bahagian kepala hingga perut bagi mengalirkan lebihan cecair yang terdapat di kepalanya. HM

Bayi derita ‘Pfeiffer syndrome’, bebola mata hampir terkeluar



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker