Bayi derita ‘Pfeiffer syndrome’, bebola mata hampir terkeluar

KOTA BHARU – Usianya baru mencecah sembilan bulan namun sudah diduga dengan penyakit ‘Pfeiffer syndrome’ sehingga sebahagian kedua-dua kelopak matanya terpaksa dijahit ketika berusia seawal dua bulan bagi mengelakkan bebola matanya terkeluar.

Nor Akma Aini Azmee, 24 berkata, anaknya Muhammad Hafiy Affan Mohd Hasiif yang juga dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) susulan mengalami kelewatan pembangunan secara umum atau dikenali sebagai ‘Global Development Delay’ (GDD) yang menyebabkan kecacatan pada muka, bentuk tengkorak tidak normal dan juga tiada lubang di kedua-dua belah telinganya.

Menurutnya, pada awalnya, Muhammad Hafiy Affan dilahirkan secara normal di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) namun ketika berusia sebulan lebih dia mendapati keadaan fizikal anaknya itu tidak seperti bayi lain.

“Bimbang dengan keadaan itu saya membawa Muhammad Hafiy Affan ke HRPZ II untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut sebelum dia dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mendapatkan rawatan pakar perubatan di sana.

“Doktor mengesahkan Muhammad Hafiy Affan telah menghidap ‘Pfeiffer syndrome’ dan ketika berusia seawal dua bulan dia terpaksa menjalani pembedahan untuk menjahit kedua-dua kelopak matanya selain doktor terpaksa membuat pembedahan pada bahagian lubang hidungnya bagi memudahkan pernafasan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tebing Tinggi, Pengkalan Chepa, dekat sini, hari ini.

Nor Akma Aini berkata, lebih menyedihkan ketika Muhammad Hafiy Affan berusia empat bulan, anaknya itu sekali lagi terpaksa menjalani pembedahan bagi memasukkan ‘shunt’ atau tiub yang dipasang di bahagian kepala hingga ke perut untuk mengalirkan lebihan cecair yang terdapat di bahagian kepalanya.

Katanya, anaknya itu berkemungkinan akan menjalani beberapa lagi pembedahan termasuk di bahagian kepala dan telinga bagi perkembangan kesihatannya namun ianya masih di peringkat perbincangan selain menunggu usia Muhammad Hafiy Affan mencecah satu tahun.

“Setakat ini saya perlu memperuntukkan hampir RM1,500 bagi menampung kos keperluan Muhammad Hafiy Affan termasuk kos ulang-alik dari Kelantan ke PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya), Kuala Lumpur, hampir sebulan sekali, keperluan untuk menukar tiub bagi membuang kahaknya yang memakan kos RM250 sebulan selain susu dan lampin pakai buangnya.

“Sebelum ini saya mengambil upah menjahit pakaian, namun terpaksa berhenti bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada anak saya yang perlu dipantau setiap masa. Kini saya hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami, Mohd Hasif Mohd Hasbi, 27, yang bekerja kampung dengan pendapatan RM500 sebulan selain ada ketika terpaksa meminjam dengan saudara bagi menampung perbelanjaan anak saya,” luahnya.

Ujarnya lagi, beliau sebelum ini pernah memohon bantuan daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) namun permohonannya itu gagal.

Terdahulu, keluarga ini menerima kunjungan Ketua Unit Media dan Komunikasi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS), Akidi Hamid yang menyampaikan sumbangan wang tunai sebagai bantuan awal.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 153011107154 atas nama Nor Akma Aini Azmee atau menghubungi suaminya di talian 0148423723. – Bernama

‘Cukuplah abah, anak-anak derita’ – Warkah pakar KKM kepada PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker