PDRM siasat kenyataan Hadi hina Raja – KPN

PDRM siasat kenyataan Hadi hina Raja – KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan siasatan terhadap terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.

Mengesahkan perkara itu kepada MalaysiaGazette, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian.

Kata beliau, polis masih belum memanggil dan merakam keterangan daripada Abdul Hadi selepas mengambil kira faktor kesihatannya yang tidak berapa mengizinkan buat masa ini.

“Kita (polis) telah buka kertas siasatan membabitkan kenyataan dikeluarkan beliau dan kami sedang menantikan waktu yang sesuai untuk memanggil dan merakam keterangan daripadanya (Abdul Hadi).

“Polis belum mengambil keterangan beliau (Abdul Hadi) memandangkan keadaan kesihatan beliau yang tidak begitu baik,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah menzahirkan rasa dukacita terhadap kenyataan Abdul Hadi yang dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan bahawa Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.

Susulan itu, baginda berkenan mengutus sepucuk surat kepada beliau (Abdul Hadi) menerusi Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri.

Dalam kenyataan itu, Ahli Parlimen Marang itu secara sinis mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap raja-raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata.

Baginda bertitah bahawa ia dianggap tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu.

Kenyataan Abdul Hadi disifatkan bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan kepada perpaduan umat Islam khususnya dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Sekiranya Abdul Hadi lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan baginda, beliau akan dapat memahami maksud sebenar.

Abdul Hadi didakwa telah mengeluarkan kenyataan terbabit di sebuah portal milik pembangkang pada 20 Februari lalu.

Pada 15 Februari lalu, Sultan Selangor yang bertitah sempena Mesyuarat MKI ke-71 mengingatkan semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didokongi rakyat Malaysia.

Baginda bertitah, paling penting usaha mencari jalan mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Baginda bertitah demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan di Puyrajaya pada 9 Februari lalu yang mengisytiharkan 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan adalah tidak sah dan terbatal. MG

PDRM siasat kenyataan Hadi hina Raja – KPN

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

30 ekor gajah datang berkunjung

Johan gosok baju saya – Ozlynn

Bekain pemain Arsenal Podolski kini jutawan kebab, ais krim

Umpama kembar ‘Ronaldo’ jadi perhatian ramai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker