MIC sudah tak relevan, saya tak akan pertahan rumah ibadat dibina secara haram, kata MB Kedah

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata protes MIC terhadap perobohan sebuah kuil yang dibina tanpa kelulusan menunjukkan seolah-olah parti itu mahukan undang-undang diabaikan apabila menyentuh kepentingannya.

Selepas dikecam oleh pemimpin MIC sebagai angkuh, jahil dan tidak layak menjadi MB oleh beberapa pemimpinnya, Sanusi menyelar parti komponen Barisan (BN) Nasional itu sebagai parti yang terpaksa mengungkit isu-isu untuk terus relevan di persada politik.

“Selain jadi hero isu-isu kuil yg dibina di kawasan lapang dan pinggir jalan yg tertakluk di bawah undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)..MIC ada isu apa lagi untuk mereka kekal releven?,” kata Sanusi kepada FMT.

Justeru, beliau mempertahankan tindakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, kerana ia dibina tanpa kelulusan dan pihak kuil tidak mengendahkan notis yang dikeluarkan.

“MIC patut tahu asas kepada kes penguatkuasaan MBAS iaitu kuil tersebut dibina di kawasan lapang perumahan… 3-4 tahun kebelakangan ini sahaja. Bila ada struktur bangunan dibina, ia menyalahi undang-undang dan notis telah dikeluarkan oleh MBAS.

“Bila notis tidak diendahkan, akan diikuti dengan penguatkuasaan. MBAS buat kerja dia ikut undang-undang yang diamanahkan kepada mereka,” kata beliau.

Sanusi berkata, dalam penguatkuasaan undang-undang, tidak timbul soal pilih bulu dan MIC harus menerima hakikat itu.

“Adakah kita sebagai parti-parti politik mahu PBT mengabaikan sahaja undang-undang apabila sesuatu penguatkuasaan terkena batang hidung kita.

“Atau (menjadi) parti politik segera muncul untuk menjadi hero kaum supaya dilihat releven dan prihatin? Parti-parti politik patut mendidik orang ramai mematuhi undang-undang,” kata beliau.

Sanusi berkata, isu berkenaan tidak patut dipolitikkan oleh sesiapa.

“Ini bukan isu politik atau agama, ini isu undang-undang bawah kuasa PBT. Apakah MIC mahu struktur yang ada dan akan datang di kawasan PBT di seluruh negeri dibina sesuka hati? Bukankah ada peraturan yang patut dipatuhi oleh semua orang,” kata beliau.

“Ini bukan soal rasis atau agama. Janganlah…., semua isu nak dipolitikkan. Saya bimbang MIC pun akan hilang kerusi-kerusi tradisi mereka jika berdegil menjadikan isu ini sebagai modal politik,” kata beliau. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker