Ugut tembak KPN: Kumpulan pengganas LTTE 2.0 akan DIGEMPUR! – Menteri KDN

LARUT – Kerajaan akan menggempur kumpulan pengganas yang masih bertapak di negara ini terutama Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) 2.0 yang mengugut menembak mati Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihaknya akan memastikan kumpulan yang masih disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia itu ditangkap dan dihapuskan berikutan tindakannya yang membelakangkan undang-undang negara.

“Kita sudah memaklumkan kepada semua bahawa Akta Hasutan masih lagi ada. Kita akan menggunakan beberapa kaedah melalui Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dalam memastikan kumpulan pengganas yang ada dalam negara akan kita tentang habis-habisan.

“Mengapa berani sangat hendak ugut. Kita kena sedar negara ini mempunyai undang-undang. Kalau mereka mengatakan mereka bebas melakukan segala-galanya, saya juga ingin memaklumkan bahawa mereka masih tersenarai sebagai kumpulan pengganas dalam negara,” katanya.

Kumpulan Pengganas LTTE 2.0 Mahu Tembak Mati Ketua Polis Negara dan Serang Bukit Aman

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena majlis sumbangan kepada 146 mangsa banjir di Dewan Semai Bakti Felda Ijok di sini hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya, pasukan keselamatan itu diminta supaya sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas menghapuskan kumpulan pengganas tersebut.

“Saya minta PDRM supaya berhati-hati dalam memastikan kumpulan ini diserang habis-habisan,” katanya.

Isnin lalu, seorang lelaki mendakwa dirinya Ketua Komander kumpulan pengganas LTTE 2.0 mengugut mahu menyerang Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Kementerian Pertahanan (Mindef).

Individu terbabit yang menghantar ugutannya melalui emel kepada pihak media turut mendakwa akan menyerang Sri Lanka selepas serangan itu.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed pada sidang media semalam berkata, polis sedang memburu seorang lelaki dikenali sebagai Sebastian yang membuat ugutan itu.

Beliau berkata, PDRM membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan sedang mengesan suspek.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker