Kedah Bakal Negeri Terkaya di Malaysia, Teroka Mineral Bernilai RM60 Billion

ALOR SETAR – [DIKEMASKINI] Mineral jenis ‘rare earth elements’ (REE) dianggarkan bernilai RM60 bilion yang digunakan dalam pembuatan komponen peranti seperti laptop, komputer dan telefon pintar akan diteroka di negeri Kedah oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, permit meneroka syarikat tersebut sudah diluluskan oleh pihaknya pada minggu lepas dan mineral tersebut berada dalam kategori tidak beradioaktif.

Menurutnya, kawasan mineral tersebut banyak tertumpu di kawasan Sik dan cara mengekstrak mineral tersebut tidak akan melibatkan aktiviti perlombongan.

“Kita telah meluluskan permit teroka kepada satu mineral baru di Kedah dan mineral ini mengikut kajian bernilai RM60 bilion tersimpan di bawah bumi kita.

“Majlis Tanah Negara yang bermesyuarat dua bulan lepas telah meluluskan satu rangka dasar mineral negara yang akan dimuktamadkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, mineral yang bernilai tinggi itu juga turut dikesan berada berada di bawah muka bumi di kawasan UIu Muda, Baling dan sedikit di Lenggong, Perak.

Katanya, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah akan dapat bersama merangka dasar bersesuaian berhubung mineral negara supaya kekayaan sumber asli itu dapat dinikmati sepenuhnya oleh rakyat di Kedah.

“Saya yakin Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Sumber Asli akan merangka dasar yang sesuai, dengan kehendak Majlis Tanah Negara berkaitan dasar mineral negara supaya kita tidak lagi menjadi seperti sejarah lampau.

“Semua hasil bumi sumber asli kita diangkut untuk mempercepatkan revolusi industri di Perancis, di Britain di barat menggunakan sumber asli negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker