[VIDEO] Laman Web Isharefans Sah ‘Lesap’, Ramai Tertipu Dan Rugi Sehingga RM10,000

Siapa yang tidak mahu kerja mudah tapi dapat wang yang banyak, bukan? Ramai yang mula termakan dengan kata-kata manis untuk mendapatkan wang ‘percuma’ dengan melaksanakan beberapa tugas seperti tonton dan ‘like’ serta tangkap layar skrin.

Sebelum ini, ahli Isharefans telah berkongsi bahawa diri mereka seperti ditipu kerana tidak dapat mengeluarkan wang ganjaran mereka dalam website Isharefans.

Terbaharu, website Isharefans telah ‘lesap’ dan pastinya ahli-ahlinya yang telah melaburkan wang mereka sudah berasa gusar serta punah harapan mereka untuk mendapatkan modal.

Buat ahli yang tidak mengeluarkan modal mungkin tidak terasa tetapi bagi yang mengeluarkan modal sehingga RM9,000 dan belum menerima pulangan pastinya kecewa akan berita ini.



Akan tetapi, ada juga yang mengatakan website Isharefans lesap disebabkan penyelenggaraan sedang dilakukan dan akan pulih pada 12 Disember 2020. Susulan itu, satu serbuan dilakukan ke atas premis berkenaan di sekitar ibu kota dan mendapati pejabat berkenaan kosong.

Menurut laporan, hasil siasatan dan risikan yang dilakukan pihak polis mendapati premis terbabit sudah ditutup sejak 9 November lalu. Malah, polis sudah mengenalpasti individu warga tempatan yang menjadi dalang skim pelaburan berkenaan.

Pastinya, dengan berita pengeluaran wang KWSP, skim-skim penipuan akan tumbuh bak cendawan dan mengumpan mereka yang terdesak mahukan wang. Diharap anda diluar sana akan lebih bijak dan berhati-hati.-TheVocket

Polis terima dua laporan skim ‘Like dan Share’

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin, berkata dua laporan itu dibuat oleh seorang lelaki bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat dan seorang wanita berpangkat pengarah.



“Kami juga menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai eksekutif mendakwa mengalami kerugian RM10,000.

“Kita sudah menyerbu sebuah pejabat di ibu negara yang disyaki markas operasi skim pelaburan berkenaan. Kita dapati pejabat mereka sudah ditutup sejak 9 November lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Saiful Azly berkata pihaknya juga berjaya mengenalpasti warga tempatan yang menjadi dalang skim pelaburan berkenaan hasil risikan yang dijalankan.

Dalam kes berasingan, Saiful Azly berkata polis menjalankan tiga serbuan sekitar ibu kota membabitkan kes tipu dan judi dalam talian, Jumaat lalu.



Jelasnya, serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Risikan Operasi IPK Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Siber Multimedia daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman.

“Polis membuat serbuan di dua premis kondominium di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur. Hasil serbuan di kedua-dua premis, sembilan orang berjaya ditangkap.

“Dalam serbuan pertama polis berjaya menangkap empat lelaki warganegara China berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun bersama barangan membabitkan 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam komputer riba, tiga monitor jenama Dell, dua unit TP Link, dua desktop yang disyaki berkaitan dengan aktiviti penipuan dan judi dalam talian.

“Dalam serbuan di premis kedua yang terletak berhampiran kondominium yang diserbu, polis menangkap empat lelaki warganegara Taiwan dan seorang wanita warganegara China berusia dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun.



“Hasil pemeriksaan di premis itu, polis berjaya membuat rampasan barang kes seperti 10 unit telefon bimbit pelbagai jenama termasuk pelbagai not ringgit Malaysia berjumlah RM2,633,” katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

Saiful Azly berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka.

Jelasnya, semua tangkapan direman bermula 27 November lalu sehingga 1 Disember depan.

“Hasil siasatan awal, sindiket dipercayai beroperasi dalam tempoh enam bulan hingga setahun yang lalu dan dipercayai sering bertukar pusat operasi,” katanya.



Sabtu lalu pula, Saiful Azly berkata sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama Bahagian Risikan Bukit Aman Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman menyerbu beberapa bilik di sebuah hotel di Bukit Bintang.

Beliau berkata, hasil serbuan berjaya menangkap 29 orang membabitkan 22 lelaki warga China, seorang lelaki Taiwan dan bakinya warga tempatan termasuk seorang wanita berusia antara 15 hingga 40 tahun.

“Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 93 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 40 komputer, 29 mobile wifi, lima buku green, dua modem D-Link dan empat kad akses serta wang tunai berjumlah RM2,675.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kesemua tangkapan ditahan reman selama empat hari di bawah Seksyen 117 KPJ bermula 29 November sehingga 2 Disember 2020,” katanya.



Penduduk serbu rumah didiami dua pasangan kekasih

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker