Mengganas selama 30 saat

Terkini di My KMU !!!!---->

Sabak Bernam: “Gangguan itu ‘mengganas’ selama 30 saat dan menggoncang jeriji pintu dapur sehingga terbuka,” kata Salmiah Abdul Rahman, 45, di rumahnya di Taman Air Manis, di sini, semalam.

Salmiah berkata, ketika kejadian pada jam 11.20 malam kelmarin hanya dia dan dua anak berusia 10 dan lima tahun berada di rumah manakala suaminya, Hairol Rizam Musa, 45, keluar menyertai Rondaan Sukarela Cegah Jenayah (RSCJ) anjuran taman perumahan itu.

“Kami bertiga duduk di ruang tengah sambil menonton televisyen. Ketika itu, semua anak belum tidur lagi.

“Tiba-tiba kami mendengar bunyi seakan-akan goncangan pada jeriji pintu dapur sampaikan anak tanya pada saya bunyi apa itu?

“Saya memberanikan diri pergi ke dapur melihat apa yang berlaku. Apabila intai di tingkap, saya tidak nampak sesiapa di luar.

“Apa yang menyeramkan, jeriji yang ditutup suami sebelum keluar meronda terbuka luas seperti ada seseorang membukanya,” katanya yang menetap di taman perumahan itu sejak lima tahun lalu.

Bagi penduduk, Rohayu Asmawi, 53, pula dia dan anak perempuannya berusia 23 tahun mendakwa terdengar bunyi seperti seseorang membaling kayu ke arah dinding berhampiran cermin bilik hadapan rumahnya pada jam 10.45 malam kelmarin.

Katanya, anak perempuannya yang duduk di bilik berasingan turut mendengar bunyi balingan itu dengan jelas.

“Bunyi balingan itu berlaku dua kali. Ia (bunyi) begitu menggerunkan menyebabkan saya panik dan ketakutan.

“Sebelum ini saya sekeluarga pernah diganggu dengan bunyi ketukan misteri. Tak sangka kali ini saya dan anak perempuan pula menjadi mangsa gangguan bunyi (baling objek seakan-akan kayu) itu,” katanya.


ROHAYU menunjukkan dinding berhampiran cermin bilik hadapan rumahnya yang dibaling objek.

Setiausaha Taman Air Manis, Zulkifli Ijoh berkata, tiga aduan berkenaan gangguan ketukan pintu berlaku di taman perumahan terbabit sejak semalam.

Beliau berkata, selain dua aduan, ada juga satu aduan berhubung bunyi ketukan misteri di sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di taman perumahan itu

“Gangguan ketukan pintu yang berlaku di taman perumahan ini berlaku sejak 19 November lalu. Aduan yang diterima ketika itu sebanyak enam (aduan) dan ia menjadi jumlah keseluruhan sebanyak sembilan aduan.

“Untuk itu, kami kerap melakukan rondaan untuk memastikan keamanan dan keselamatan penduduk taman perumahan ini terjamin.

“Surau taman perumahan ini akan mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat dalam tempoh terdekat. Sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga gangguan ini segera berakhir,” katanya. HM

Misteri ketukan pintu: Tidak seharusnya jadi perkara yang menakutkan

Leave a Reply