Misteri ketukan pintu: Tidak seharusnya jadi perkara yang menakutkan

Tidak dinafikan makhluk halus seperti jin wujud dan boleh mengganggu sehingga menimbulkan ketakutan kepada orang ramai, tetapi ia tidak seharusnya menjadi perkara yang menakutkan.

Pendakwah yang juga Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Ts Dr Mohd Nor Mamat berkata, hidup dalam ketakutan sangkaan sebegini tidak membawa faedah, apatah lagi ketakutan melampau menyebabkan hidup dalam dunia mistik tanpa kewarasan akal.

“Secara psikologi, ketakutan atau keterlaluan berfikir tentang sesuatu perkara boleh menjadi gangguan separa sedar ataupun halusinasi yang boleh membawa akhirnya kepada skizofrenia.

“Bagi sesetengah orang yang tidak mengendahkan cerita-cerita yang didengari ataupun tidak mengambil kisah, barangkali gangguan sebegitu tidak terdengar dan mengganggu mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.



Beliau berkata demikian mengulas mengenai misteri bunyi ketukan pintu rumah di Sabak Bernam sehingga menimbulkan rasa takut dalam kalangan penduduk.

Mohd Nor berkata, sungguhpun ada gangguan, masyarakat tidak digalakkan untuk menyelesaikannya dengan cara perbomohan atau perdukunan yang mengheret kita ke alam mistik dan khurafat.

“Cukup dengan fitrah dan adab yang dianjurkan dalam Islam. Tidak perlu memperlekehkan ataupun mengagungkan kuasa makhluk halus.

“Antara amalan yang baik untuk kita lakukan ialah berdoa memohon agar dijauhkan kejahatan tempat tersebut dan dikekalkan kebaikan yang ada dan ayat-ayat pelindung diri sentiasa dijadikan amalan.



“Tidak ada sebab untuk kita berasa takut seandainya kita hidup harmoni dalam kehidupan secara fitrah. Paling utama, sentiasalah tambah ilmu dan pengetahuan agar kita tidak selamanya berfikiran sempit sehingga menakutkan diri kita sendiri,” kata beliau.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, sebagai manusia biasa yang menjalani kehidupan di alam nyata, dalam mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah yang dihadapi hendaklah dimulai dengan cara tabii.

Menurutnya, alam tabii mempunyai undang-undangnya atau hukumnya yang tersediri iaitu yang dikenali sebagai hukum tabii atau ‘natural law’.



Bagaimanapun, katanya, sekiranya berhadapan dengan situasi atau kejadian yang tidak tabii, maka agama tidak menghalang manusia daripada berikhtiar untuk mengatasinya mengikut kaedah-kaedah lain seperti ruqyah dengan menggunakan ayat al-Quran atau doa-doa tertentu, rawatan alternatif dengan syarat tidak mensyirikkan sesuatu dengan ALLAH SWT.

“Mohonlah terus kepada ALLAH SWT sebab Dialah yang menyembuhkan segala penyakit, yang mampu menolong hamba-hamba-Nya mengatasi apa jua masalah dan kesulitan dihadapi.

“Memang kuasa ALLAH SWT tidak terbatas dan mengatasi segala kuasa makhluk sebab Dialah yang mencipta alam semesta ini sama ada yang nyata atau ghaib,” katanya.

Sebelum ini panas dengan cerita misteri ketukan pintu di Sabak Bernam



Penduduk di beberapa kampung di daerah Sabak Bernam diselubungi misteri apabila mendakwa diganggu dengan bunyi pintu rumah mereka diketuk tanpa salam sejak kelmarin.

Gangguan misteri itu dipercayai mula mengganggu penduduk pada waktu malam hingga awal pagi membabitkan beberapa kampung antaranya Kampung Batu 37, Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting.

Memetik laporan Sinar Harian, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu 37 Darat, Muhammad Nazri Saiman berkata, pihaknya ada menerima banyak aduan berhubung perkara itu.
Malah, katanya, dia sendiri turut diganggu bunyi ketukan pintu itu semasa berada di rumahnya pada jam 11 malam kelmarin.

“Boleh dikatakan hampir separuh penduduk kampung ini mengadu kejadian sama dan saya menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan tidak membuka pintu jika terdengar bunyi meragukan,” katanya kepada Sinar Harian.



Pihaknya turut melakukan rondaan di sekitar kampung membabitkan sukarelawan MPKK yang bermula pukul 10 malam hingga 3 pagi.

Di laman sosial Twitter, ketukan misteri itu menjadi buah mulut wargamaya apabila rata-ratanya terkejut dengan berita tersebut.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker