Agihan peruntukan ikut bilangan sekolah bukan lagi ikut jenis, kata Radzi

Terkini di My KMU !!!!---->

Peruntukan penyelenggaraan sekolah dalam Belanjawan 2021 akan diagih mengikut formula yang mengambil kira bilangan, serta kategori sekolah sama ada sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan, tidak lagi pukul rata mengikut jenis.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin, berkata formula itu bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan peruntukan sebanyak RM620 juta, khusus untuk menyelenggara sekolah bawah pengendalian Kementerian Pendidikan (KPM).

“Semasa sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan, KPM memohon supaya diberi tanggungjawab untuk menentukan agihan peruntukan penyelenggaraan sekolah dan institusi pendidikan bawah pengendalian KPM.

“Ini bagi memastikan pengagihan dapat dibuat secara lebih menyeluruh dengan mengambil kira bilangan dan jenis sekolah,” katanya pada taklimat peruntukan Belanjawan 2021 bagi KPM kepada media.

Katanya, terdapat 10,223 sekolah bawah pengendalian KPM, terdiri daripada 8,293 sekolah kerajaan dan 1,930 sekolah bantuan kerajaan.

Jenis sekolah bagi kedua-dua kategori itu meliputi Sekolah Kebangsaan (SK); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK); Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC); Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT); Sekolah Mubaligh; Sekolah Conforming (sekolah menengah jenis kebangsaan); dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Radzi berkata, menggunakan formula itu, siling peruntukan bagi jenis sekolah adalah RM477.48 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah kerajaan, termasuk Sekolah Berasrama Penuh dan Kolej Vokasional, manakala RM1.2 juta bagi SK dan SMK berstatus sekolah bantuan kerajaan.

“Sementara RM74.07 juta bagi SJKC kerajaan dan bantuan kerajaan, SJKT kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM29.98 juta, serta Sekolah Mubaligh kerajaan dan bantuan kerajaan sebanyak RM20.94 juta,” katanya.

“Selain itu, Sekolah Conforming kerajaan dan bantuan kerajaan akan menerima RM4.11 juta, dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan sebanyak RM12.23 juta,” katanya.

Mengulas kategori sekolah yang menerima peruntukan lebih rendah seperti SJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Conforming dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan berbanding peruntukan tahun ini, Radzi berkata ia dibuat mengikut jumlah sekolah.

“Banyak jumlah sekolah maka banyak peruntukan diagihkan,” katanya.

Radzi turut memaklumkan, lima kategori sekolah yang menerima peruntukan bawah RM30 juta, iaitu SBK, SJKT, Sekolah Mubaligh, Sekolah Confirming, dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, mereka turut disediakan peruntukan tambahan kritikal RM30 juta.

Radzi turut memaklumkan purata syiling bagi 8,293 sekolah akan menerima RM62,059.

“Bagaimanapun kita bukan bagi duit RM62,059 itu kepada sekolah, tetapi nilainya untuk syiling bagi setiap satu sekolah dan pemberian itu akan diberikan berdasarkan permohonan yang dibuat pihak sekolah,” katanya.

KPM menerima peruntukan RM50.36 bilion secara keseluruhan.

Dalam inisiatif belanjawan kementerian, ia memperuntukkan RM500 juta untuk jalinan digital, RM420 juta bagi penambahbaikan rancangan makanan Tambahan (RMT), RM150 juta pemberian komputer riba, RM800 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf dewan dan kemudahan lain sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan, RM735 juta untuk naik taraf prasarana 50 buah sekolah daif, RM120 juta untuk pembinaan 184 telaga tiub di sekolah luar bandar Sabah dan Sarawak, dan RM45 juta bagi memperkasa pendidikan khas. Awani

Dr M yang setuju Bersatu keluar PH, dakwa Radzi Jidin

Leave a Reply