Dr M yang setuju Bersatu keluar PH, dakwa Radzi Jidin

Share

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad turut bersama dalam usaha membawa Bersatu keluar dari Pakatan Harapan, dakwa Ketua Penerangan Bersatu, Radzi Jidin.

Radzi berkata Dr Mahathir cuma mengubah fikiran pada saat-saat akhir.

“Saya juga ingin menjelaskan kepada ahli-ahli Bersatu bahawa perancangan untuk membawa Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru diketahui dan disokong oleh Tun (Dr Mahathir) sendiri.

“Hanya di saat-saat akhir di mana perancangan ini sepatutnya dilaksanakan, Tun mempunyai pendirian yang berbeza dengan pendirian parti,” kata Radzi pada suatu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan semalam yang dikeluarkan Marzuki Yahya yang masih mengaku setiausaha agung Bersatu.

Marzuki semalam, mempertikaikan kesahihan keputusan membawa Bersatu keluar dari PH.

Kepimpinan Bersatu yang berpihak kepada presiden parti Muhyiddin Yassin telah menggantikan Marzuki dengan Hamzah Zainuddin. Bagaimanapun, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata Marzuki masih lagi setiausaha agung parti. Marzuki berpihak kepada Mahathir.

Bersatu juga sedang dalam pertikaian mengenai jawatan pengerusi parti, satu kem mendakwa masih memegang jawatan itu, manakala satu lagi kem mendakwa Muhyiddin kini pemangku pengerusi Bersatu.

Radzi menjelaskan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu secara rasmi telah memutuskan untuk keluar PH pada 23 Februari dan membentuk gabungan baru dengan parti-parti lain.

Radzi turut menegaskan keputusan itu tidak dibuat secara tergesa-gesa kerana telah dibahas di pelbagai peringkat dalam parti selama berbulan-bulan sebelum dimuktamadkan oleh biro politik pada 21 Februari dan MPT Bersatu pada 23 Februari.

Atas rasa hormat Tun

Keputusan itu, dakwa Radzi dibuat bersandarkan alasan dakwaan PKR dan DAP telah menekan Mahathir untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri yang menimbulkan kegelisahan dalam Bersatu.

“Selain itu, pimpinan dan ahli parti di pelbagai peringkat juga tidak selesa dengan tindak tanduk parti DAP dan mereka rata-rata mahu parti mengkaji semula hubungan Bersatu dengan DAP dalam PH.

“Justeru, demi kelangsungan perjuangan parti di masa hadapan, langkah mula diambil untuk membawa

Bersatu keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baru.

“Namun, Tun (Dr Mahathir) tidak bersetuju dengan keputusan ini. Sebaliknya, beliau mahu kekal berada dalam PH kerana mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari 2020 telah memutuskan untuk menyerahkan kepada beliau menentukan tarikh bila beliau hendak melepaskan jawatan perdana menteri.

“Atas rasa hormat kepada Tun, MPT Bersatu bersetuju memberikan sedikit masa kepada beliau untuk mengumumkan keputusan yang telah dipersetujui oleh mesyuarat MPT. Dengan kata lain, keputusan untuk keluar dari PH telah dibuat, cuma pengumumannya sahaja ditangguhkan,” kata Radzi.

Dah letak jawatan pengerusi

Bagaimanapun, Radzi berkata Mahathir mengumumkan mengundur diri sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu pada hari berikutnya tanggal 24 Februari dengan alasan beliau tidak lagi mendapat sokongan majlis tertinggi parti.

Dr Mahathir juga memperakui Bersatu pada hari yang sama menolak peletakan jawatannya sebagai pengerusi parti – satu langkah yang sering digunakan oleh penyokong Mahathir untuk menekankan bahawa beliau masih menerajui Bersatu.

“Oleh kerana Tun telah meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu pada 24 Februari 2020, jawatan Pengerusi dipangku oleh Muhyiddin sehingga pemilihan MPT diadakan untuk memilih Pengerusi baru.

“Buat masa ini tarikh pemilihan MPT Bersatu masih belum ditetapkan.

“Benar, Mesyuarat Khas MPT pada 24 Februari 2020 telah menolak peletakan jawatan Tun sebagai Pengerusi Bersatu. Namun, setelah disemak dari sudut perlembagaan parti, tiada sebarang peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang membenarkan MPT mengembalikan semula jawatan pengerusi kepada pemegangnya yang telah meletak jawatan.

“Perkara ini adalah di luar batasan bidang kuasa MPT,” katanya.

Oleh itu, Radzi menegaskan bahawa pemangku pengerusi Bersatu sekarang ialah Muhyiddin. Kedudukan pengerusi Bersatu adalah kuasa tertinggi di dalam parti.

Di tengah-tengah percubaan Mahathir menggesa ahli parti supaya tidak menyokong Muhyiddin dan Perikatan Nasional, Radzi menggesa ahli Bersatu untuk mengekalkan perpaduan parti.

“Saya juga menyeru kepada semua ahli supaya memberikan sokongan padu kepada Presiden merangkap Pemangku Pengerusi parti dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin,dalam usaha gigih beliau untuk membawa

Malaysia keluar dari krisis Covid-19 seterusnya melonjakkan kembali pertumbuhan ekonomi negara.

“Sama-sama juga kita doakan agar Dr Mahathir yang kita kasihi sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik oleh Allah SWT,” katanya.

Bersatu kini terpecah kepada dua kem, penyokong Muhyiddin dan penyokong Dr Mahathir.

Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari setelah Muhyiddin membawa Bersatu keluar dari gabungan itu dan bergabung bersama sekumpulan MP PKR yang berpaling tadah diketuai oleh bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali.

Bersama-sama pembangkang PAS, Umno, GPS dan parti kecil lain mereka menubuhkan kerajaan persekutuan PN.

Bagaimanapun, Dr Mahathir telah membayangkan rancangannya untuk kembali menguasai Bersatu pada pemilihan parti akan datang dan membawa Bersatu keluar daripada kerajaan PN.

Mkini

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!