Hampa, hanya darurat dapat halang pilihan raya – Muhyiddin

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata hanya perisytiharaan darurat membolehkan pilihan raya kecil di Batu Sapi dan pilihan raya negeri Sarawak ditangguhkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

Beliau berkata, ia selaras dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hatilah.

“Jagalah diri dan patuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan,” katanya pada sidang media khas situasi semasa Covid-19, hari ini.

Sidang media itu diadakan seminggu selepas cadangan kerajaan melaksanakan perintah darurat ditolak oleh Yang di-Pertuan Agong.

Kes positif Covid-19 meningkat mendadak selepas pilihan raya negeri Sabah dengan kes harian lebih 500 kes setiap hari.

Semalam 799 kes baru Covid-19 dicatatkan di seluruh negara.

Negeri berkenaan mendominasi catatan kes harian tertinggi sejak PRN yang diadakan pada akhir Sept lalu dan setakat ini mencatatkan 13,701 kes.

Susulan peningkatan penularan kes positif Covid-19, beberapa negeri kini diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) antaranya Sabah, Labuan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur.

Dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu Muhyiddin berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan ramai petugasnya bimbang untuk bertugas dalam PRK Batu Sapi kerana kes positif Covid-19 yang tinggi di Sabah.

“Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Noor Hisham Abdullah) juga melaporkan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan, beliau bimbang dengan keadaan di kawasan pedalaman negeri itu yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan lengkap untuk menampung kes positif Covid-19.

“Ini kerana ada kemungkinan kes positif akan naik mendadak selepas pilihan raya,” katanya.
Justeru kata beliau, pelbagai pihak mencadangkan supaya kerajaan memperketatkan SOP pilihan raya.

“Saya akan teliti SOP yang disediakan oleh SPR untuk PRK Batu Sapi dan PRN Sarawak. Cuma saya tahu banyak kekangan yang dihadapi oleh SPR untuk menggubal satu SOP yang benar-benar berkesan dalam memastikan tiada jangkitan langsung semasa pilihan raya diadakan,” katanya.

PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Dis ini dan PRN Sarawak berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa.

Menurut Fasal 1 Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas terdapat kekosongan bagi sesuatu kerusi Parlimen.

Sementara itu, Fasal 4 Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak juga memperuntukkan pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu selewat-lewatnya pada Jun tahun depan.

Mengenai Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini, Muhyiddin menggesa semua ahli Parlimen mengetepikan perbezaan politik bagi memastikan ia diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

“Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain. Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan ahli Parlimen untuk membolehkan Belanjawan 2021 diluluskan dengan sokongan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Saya memberi jaminan bahawa kerajaan Perikatan Nasional akan terus mencari jalan terbaik untuk mengurus krisis besar yang sedang kita hadapi pada masa ini dengan matlamat memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terbela,” katanya. FMT

Demi rakyat, BN tidak akan bertanding di PRK Batu Sapi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker