Kalau keadaan terus macam ni memang boleh ‘mati’, keluh peniaga · MYKMU.NET

Kalau keadaan terus macam ni memang boleh ‘mati’, keluh peniaga

Share

“Kami kerja hanya untuk cari makan dan bukan hidup mewah.

“Cukup dapat bayar bil air, elektrik dan sewa rumah tapi ketiadaan pelanggan ketika ini memang sangat memeritkan,” luah seorang pembantu di sebuah butik tudung di [email protected] MARA.

Menurut Khairul Anuar Sarip, 48, lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sehingga 9 November depan benar-benar membuatkan peniaga ‘mati kutu’.

Jelasnya, rata-rata peniaga di situ bergantung kepada kehadiran pelanggan yang kebanyakannya bekerja di Bangunan MARA serta pejabat yang berhampiran.

“Boleh dikatakan sekarang semua orang hanya bekerja dari rumah jadi siapa yang mahu datang membeli? Memang lah sektor ekonomi dibenarkan beroperasi ketika PKPB tapi pergerakan orang ramai pula terhad untuk ke sini.

“Semalam hanya seorang pelanggan masuk ke butik tapi tak beli apa-apa. Hari ini pun cuma seorang. Macam mana majikan saya dan juga semua peniaga di sini mahu meneruskan kelangsungan operasi? Kami pula sebagai pekerja terpaksa pasrah dengan apa jua situasi yang bakal berlaku selepas ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Sementara itu, seorang peniaga makanan, Nur Alana Fitra Halim, 26, berkata, jumlah pelanggan memang sangat berkurangan ketika ini berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

BF0738AC-E637-4F4F-9EC8-1ED3C7A0735F-767×1024
Nur Alana Fitrah Halim
“Perniagaan memang terjejas teruk kerana ketiadaan pengunjung di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sehingga kan saya kehilangan pendapatan harian kira-kira 80 peratus. Peniaga-peniaga kecil di tepi jalan seperti kami memang merasai kesannya secara langsung tapi apa boleh buat ini sahaja cara untuk cari rezeki.

“Kita pun tidak tahu bila wabak Covid-19 bakal reda ditambah pula dengan peningkatan kes positif kebelakangan ini yang amat membimbangkan walaupun kebanyakannya di negeri Sabah dan di dalam penjara. Tapi memang harap sangat lah keadaan dapat pulih seperti sedia kala jadi semua dapat menjalani kehidupan seperti sebelum ini,” ujarnya.

Manakala bagi peniaga apam balik, Ramli Kadir, 54, berkata, ramai rakan-rakannya tidak membuka gerai selepas PKPB diumumkan 14 Oktober lalu kerana tidak dapat menanggung kerugian berterusan.

Tambah Ramli, dia pula tidak punya pilihan lain kerana perniagaan yang diusahakan itu merupakan punca rezeki untuk menanggung isteri dan empat anak.

B0B4E4DA-D10A-4703-B46D-C4CF6EB33415-767×1024
Ramli Kadir
“Ramai yang tidak keluar berniaga, kalau tidak memang ada di kawasan sekitar sini. Mereka cakap meniaga pun buat penat sahaja, tak balik modal. Tapi saya terpaksa buka kerana memang bergantung pendapatan dengan berniaga.

“Mohon juga lah pada kerajaan supaya jenguk kami peniaga kecil-kecilan di sini. Jika ada bantuan lagi bagus,” katanya yang sudah lebih 20 tahun mencari rezeki sebagai peniaga.

Dalam pada itu, seorang pemilik kedai beg dan aksesori di Jalan TAR, Alvin Kang, 60, berkata, situasi yang dihadapi para peniaga ketika ini sama seperti awal bulan Mei lalu apabila mereka mula beroperasi semula selepas dua bulan menutup kedai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Keadaan sama macam selepas MCO (PKP). Tiada langsung pelanggan datang, nak dapat seorang dua yang masuk ke kedai pun sangat susah.

“Pusat beli-belah pun kurang orang apatah lagi kami yang berniaga di sini. Orang mahu keluar tapi banyak kekangan kerana ada anak kecil, jauh dari Kuala Lumpur dan tidak boleh rentas daerah.

“Kalau keadaan begini berterusan memang boleh ‘mati’,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tempoh PKPB dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 November depan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. MG

Mekanisme Caj TNB Diteliti… Keluh Kesah, Rungutan Rakyat Didengar

Leave a Reply