6 soalan dan jawapan berkaitan darurat · MYKMU.NET

6 soalan dan jawapan berkaitan darurat

Share

 

Pakar Perlembagaan Persekutuan, Prof Madya Dr Shamrahayu A Aziz

Assalamu’alaikum wrt wbt. Terima kasih kepada semua kerana membaca tulisan saya dan memberikan komen, soalan dan cadangan serta mencurah pandangan pada laman buku saya.

Saya berharap kita dapat bina kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negara kita dengan lebih mantap.

Berikut saya paparkan beberapa soalan dalam ruang komen kepada tulisan saya sebelum ini, iaitu 15 soalan dan jawapan mengenai darurat. Saya sediakan jawapan dan pandangan saya.

Petikan ini saya dahulukan – Ini adalah jawapan saya kepada soalan yang dikemukakan pembaca.

“Sedar atau tidak sedar kita hidup hampir 40 tahun dalam keadaan pengisytiharan darurat tidak dirungkai atau tidak ditarik balik. Pengisytiharan darurat yang dibuat pada 15 Mei 1969 ditarik balik atau dibatalkan pada 20 Disember 2011. Rakyat tidak perasan pun kita dalam darurat kerana negara membangun dengan gagah dan undang-undang dilaksana dengan baik. Mahkamah berfungsi. Itulah pengalaman Malaysia kita”.

Selamat membaca, moga bermanfaat:

Soalan 1:

Jika perlembagaan digantung apakah maksudnya hak asasi juga terancam? Bagaimana dengan prosedur di mahkamah, apakah berjalan seperti biasa? Bagaimana proses penguatkuasaan?

Apakah perlu berlandaskan perlembagaan atau boleh dilakukan sesuka hati? Contoh, kalau dalam situasi polis mahu menangkap seseorang individu yang disyaki terbabit jenayah, dalam situasi biasa polis tidak boleh berbuat sesuka hati sebaliknya perlu berlandaskan hak asasi yang terjamin dalam perlembagaan (perlu mendapatkan waran di mahkamah dan sebagainya). Kalau dalam situasi selepas pemasyhuran darurat bagaimana pula (since perlembagaan digantung)?

Jawapan:

Sedar atau tidak sedar kita hidup hampir 40 tahun dalam keadaan pengisytiharan darurat tidak dirungkai atau tidak ditarik balik.

Pengisytiharan darurat yang dibuat pada 15 Mei 1969 ditarik balik / dibatalkan pada 20 Disember 2011. Rakyat tidak perasan pun kita dalam darurat. Negara membangun dengan gagah dan undang-undang dilaksana dengan baik. Mahkamah berfungsi. Itulah pengalaman Malaysia kita.

Soalan 2:

Adakah Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan Ordinan itu dengan sewenangnya atau tertakluk juga kepada nasihat Perdana Menteri macam keadaan biasa?

Jawapan:

Yang di-Pertuan Agong, atas sifat jawatan itu, sebagai Ketua Negara, pastinya baginda tertakluk kepada etika, raja sekarang bukan raja seperti zaman feudal zaman dahulu.

Baginda hendaklah mengamalkan amalan yang baik. Bermesyuarat dengan pelbagai pihak.

Soalan 3:

Setahu saya bila sebut darurat, maka tentera berkuasa, mereka boleh buat apa saja terutama kepada musuh bangsa, musuh agama, musuh negara! Atau mungkin musuh Raja-Raja Melayu itu sendiri! Wallahualam

Jawapan:

Kalau proklamasi darurat kerana sebab keselamatan negara, mungkin betul tentera akan beramai-ramai keluar kem untuk mententeramkan keadaan.

Kalau kerana kesihatan, saya fikir tidak sebegitu. Aktiviti ekonomi boleh saja berjalan macam biasa. (lihat jawapan saya kepada soalan di bawah).

Soalan 4:

Apakah kesan darurat di peringkat negeri, adakah ia akan menjejaskan badan perundangan negeri iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN), adakah DUN juga boleh terbubar?

Jawapan:

Sekiranya darurat diisytihar, Parlimen, DUN dan Kabinet tidak terbubar. Semua akan terbubar sekiranya dibubarkan. Pengisytiharan darurat tidak akan secara automatik menyebabkan pembubaran itu.

Kesan darurat bergantung kepada di mana darurat diisytiharkan. Sekiranya meliputi seluruh Malaysia, maka ia merangkum seluruh Malaysia. Sebab darurat boleh diisytiharkan pada mana-mana tempat yang tertentu atau seluruh Malaysia.

Sebagai contoh, sekiranya di Lembah Klang ini penularan COVID-19 tidak terkawal, maka hanya di Lembah Kelang.

Soalan 5:

Kes Cheng Poh ni apa dia ya… sampai dipinda perlembagaan yang tak nak mahkamah boleh menyemak kembali keputusan Yang di-Pertuan Agong?

Jawapan:

Sebab pada pandangan kerajaan ketika pindaan itu dibuat, mereka mahu memastikan Yang di-Pertuan Agong dapat melaksana pentadbiran semasa darurat dengan baik.

Kepercayaan yang tinggi diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga tindakan baginda tidak boleh dipersoalkan. Dengan itu Yang di-Pertuan Agong hendaklah berhati -hati supaya amanah yang baginda galas tidak melampau batas, hendaklah sentiasa bermesyuarat dengan jemaah menteri, para pakar bidang, akademik, teknokrat, penjawat awam, malah dengan Sultan lain menerusi Majlis Raja-Raja.

Perkara ini yang kita hendaklah sentiasa mengingatkan kepada institusi beraja. Untuk Jemaah Menteri juga mereka harus ingat juga, sebarang nasihat yang mereka berikan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah benar, telus, tulus, atau berwibawa supaya mereka dapat memberi gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku kepada Yang di-Pertuan Agong – supaya baginda tidak dimalukan dengan keputusan tidak wajar yang berpihak kepada mana-mana parti politik.

Soalan 6:

Berkaitan Perkara 149 , adakah ia menjadi asas kepada berlakunya pengisytiharan darurat? Apakah keterangan dalam Perkara 149(1) telah atau sedang berlaku dalam negara ?

Jawapan:

Perkara 149 ada pelbagai tujuan. Mungkin bagi ancaman yang berlaku di luar negara atau dalam negara. Contoh jenayah terancang berlaku di luar negara, kita boleh menggunakan undang-undang pencegahan yang dibuat di bawah Perkara 149.

Kalau subversif ia boleh ditangani melalui 149, tapi kalau subversif berterusan, perlu isytihar darurat. Jadi betul juga kalau dikatakan bunga-bunga ancaman boleh digunakan Perkara 149, tapi kalau ancaman berterusan, makan proklamasi darurat bawah 150 mungkin diperlukan.

Peristiwa lama semasa British, ancaman komunis mulanya kelihatan tidak berbahaya kepada British dan ia ditangani dengan undang-undang menangani subversif. Tetapi apabila ladang British dibakar dan pegawai British dibunuh, British mengisytiharkan darurat-BH

Darurat jalan terakhir mengekang ahli politik gila kuasa

Leave a Reply