Pemain karakter Chong Wei sudah ditemui – Misbun

Beberapa pemain badminton remaja negara dikenal pasti memiliki karakter seperti Datuk Lee Chong Wei ketika usia remajanya.

Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek, berkata perkara itu dapat dilihat menerusi saingan Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan yang berlangsung, minggu lalu.

“Saya lihat ada pemain yang betul-betul setaraf dari awalnya seperti Chong Wei. Mereka ada kriteria yang diperlukan.

“Sekarang adalah bagaimana kita sebagai jurulatih merancang untuk mempercepatkan proses bagi memastikan mereka dapat menonjolkan bakat sebenar mereka mengikut modul yang akan diberikan.



“Kita mahu menjadikan proses itu lebih cepat, jika pada awalnya mungkin ambil masa dua tahun, kita mahu jadikannya mungkin dalam tempoh setahun sahaja. Jika tidak ikut modul, ia akan melambatkan proses,” kata Misbun.

Ditanya mengenai identiti pemain yang dimaksudkan, Misbun bagaimanapun berkata beliau belum boleh mendedahkan nama kerana masih terlalu awal.

“Kita tidak mahu jika sebut nama, pemain itu akan berasa selesa. Namun, apa yang saya lihat ada beberapa pemain yang betul-betul berkaliber.

“Ia dapat dilihat menerusi cara mereka bermain dan cara mereka berfikir.



“Badminton ini ada lima perkara penting iaitu fizikal, teknikal, taktikal, mental dan deria rasa. Semua elemen ini perlu ada yang mana buat masa sekarang belum ada pemain yang memenuhi semua elemen berkenaan.

“Mungkin dari segi mental dan deria rasa sudah baik tetapi dari fizikal iaitu kekuatan badan masih lemah dan taktikal masih kurang seperti bagaimana untuk memerangkap lawan,” katanya. BH

Kecoh Chong Wei menghidap kanser hidung



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker